LUAR NEGARA

Trump pecat peguam negara, isu Epstein cetus tekanan dalaman

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memecat Peguam Negara, Pam Bondi semalam susulan kekecewaan terhadap prestasinya, khususnya berkaitan pengendalian pendedahan fail pesalah seks, mendiang Jeffrey Epstein.

Menurut sumber, Trump turut berpendapat Bondi gagal bertindak pantas dalam mengambil tindakan undang-undang terhadap pengkritik serta pihak lawan politik yang mahu dikenakan pertuduhan jenayah.

Trump memaklumkan, Timbalan Peguam Negara, Todd Blanche yang juga bekas peguam peribadinya akan mengetuai Jabatan Kehakiman buat sementara waktu.

Dalam hantaran di media sosial, Trump memuji Bondi sebagai ‘patriot AS yang hebat dan rakan setia’ yang mengetuai pelbagai usaha membanteras jenayah sepanjang perkhidmatannya.

Beliau turut memaklumkan Bondi akan beralih ke sektor swasta dalam masa terdekat, namun tidak memperincikan lanjut.

Sementara itu, Blanche turut menghargai Bondi menerusi hantaran di platform X.

“Pam Bondi memimpin jabatan ini dengan penuh ketegasan dan keyakinan. Saya berterima kasih atas kepimpinan serta persahabatannya.

“Kami akan terus menyokong pasukan penguat kuasa, menguatkuasakan undang-undang dan melakukan segala yang termampu untuk memastikan Amerika kekal selamat,” tulisnya memetik laporan BBC.

Bondi dalam kenyataannya pula menyifatkan peluang memimpin usaha pentadbiran Trump untuk memperkukuh keselamatan negara sebagai satu penghormatan besar sepanjang hayatnya.

Beliau berkata akan menggunakan tempoh sebulan akan datang bagi melengkapkan proses penyerahan tugas kepada Blanche.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Bondi dikenali sebagai penyokong tegar agenda Trump termasuk melakukan perubahan terhadap tradisi lama Jabatan Kehakiman yang sebelum ini mengekalkan jarak daripada pengaruh Rumah Putih dalam proses penyiasatan.

Bagaimanapun, kontroversi berterusan berkaitan pengendalian fail Epstein termasuk kritikan daripada sekutu Trump dan beberapa penggubal undang-undang Republikan yang dilihat menjejaskan kedudukannya.

Bondi turut berdepan tuduhan menutup atau salah mengurus pendedahan rekod berkaitan siasatan pemerdagangan seks melibatkan Epstein, yang mempunyai kaitan dengan golongan elit dan berpengaruh.

Sumber turut memaklumkan Trump telah menyampaikan hasrat untuk mencari pengganti kepada Bondi dalam satu mesyuarat di Rumah Putih pada Rabu.

Pemecatan itu dijangka membawa perubahan strategi dalam Jabatan Kehakiman, selain membuka ruang kepada pendekatan baharu dalam penggunaan sistem perundangan AS selaras dengan kepentingan politik Trump.

Difahamkan, Bondi merupakan pegawai kanan kedua dalam pentadbiran Trump yang disingkirkan baru-baru ini, selepas beliau sebelum ini memecat Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem pada 5 Mac lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button