BERITA SEMASALUAR NEGARA

Calon Republikan AS bakar al-Quran cetus kemarahan global

TEXAS – Seorang calon Kongres Parti Republikan, Valentina Gomez, sekali lagi mencetuskan kontroversi selepas menyiarkan rakaman video membakar senaskhah al-Quran, di platform X.

Video yang disertakan kapsyen “I will end Islam in Texas so help me God” itu segera tular dan mengundang kecaman hebat daripada pertubuhan Islam, pemimpin politik serta pengguna media sosial.

Dalam rakaman itu, Gomez turut mendakwa Amerika Syarikat sebagai sebuah negara Kristian sambil mengeluarkan kata-kata berbaur penghinaan terhadap umat Islam.

Tindakan itu bukan kali pertama beliau menyerang komuniti Islam. Pada Mei lalu, Gomez dilapor menceroboh pentas ketika berlangsungnya Texas Muslim Capitol Day, lalu melaungkan seruan supaya Islam “dihapuskan” dari negeri berkenaan.

Kempen anti-Islam oleh Valentina Gomez dengan membakar al-Quran menggunakan flamethrower mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Kumpulan hak asasi termasuk Council on American-Islamic Relations (CAIR) mengecam perbuatan Gomez dan menyifatkan retorik tindakan itu hanya menyemarakkan sentimen Islamofobia dan menggugat kebebasan beragama di Amerika Syarikat.

Gomez sebelum ini dikecam ekoran pelbagai aksi provokatif antaranya siaran video kempen memaparkan lakonan hukuman mati terhadap seorang imigran bertudung sambil menggesa hukuman mati awam dikenakan ke atas pendatang tanpa dokumen.

Rakaman yang disiar pada Disember 2024 itu kemudian dihadkan tayangannya oleh beberapa platform media sosial kerana menyalahi terma.

Pada awal tahun ini, Gomez merakamkan dirinya membakar bahan bacaan komuniti LGBTQ+ di samping menghamburkan kata-kata menghina terhadap golongan transgender.

Insiden terbaharu membabitkan pembakaran al-Quran itu berlaku ketika insiden Islamofobia semakin meningkat di Amerika Syarikat, sejajar dengan kebangkitan retorik politik berhaluan kanan.

Dalam pada itu, pemerhati politik menyifatkan tindakan Gomez mirip dengan insiden pembakaran al-Quran oleh aktivis pelampau di Sweden pada 2023 dan 2024 yang mencetuskan protes besar-besaran di negara Islam.

Bagi umat Islam, perbuatan sedemikian bukan sahaja dianggap penghinaan terhadap kitab suci tetapi juga serangan langsung terhadap identiti dan pegangan agama mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button