Polis tahan warga asing buat kelucahan melampau di tempat awam
SEPANG – Polis menahan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan awal 20-an selepas disyaki melakukan kelucahan melampau di sebuah taman permainan berhampiran sebuah pasar raya di Cyberjaya, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman dalam satu kenyataan berkata, suspek ditahan selepas seorang wanita tempatan membuat laporan polis pada pukul 7.18 malam, mendakwa melihat lelaki itu melakukan aksi lucah di kawasan taman berkenaan.
Tambahnya, siasatan awal mendapati, suspek memasukkan tangan ke dalam seluar dan menggosok kemaluannya berulang kali sambil merenung ke arah pengadu, sekali gus menyebabkan wanita itu berasa bimbang terhadap keselamatan dirinya.
Wanita berkenaan kemudian mendapatkan bantuan orang awam sebelum beberapa individu berjaya menahan suspek dan menyerahkannya kepada anggota polis yang tiba di lokasi tidak lama kemudian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan imigresen.
“Suspek kini direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan, katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.
“Polis Daerah Sepang memandang serius sebarang perlakuan tidak bermoral yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta menimbulkan ketakutan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat, khususnya membabitkan wanita dan kanak-kanak di tempat awam.
“Kami turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang bertindak pantas membantu menahan suspek sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








