BERITA SEMASA

Hari TVET Negara 2025 di MITC, Melaka pada 11 hingga 13 Jun Ini

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari TVET Negara 2025 akan diadakan pada 11 hingga 13 Jun ini di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sambutan tahunan itu merupakan platform penting yang mencerminkan kemajuan positif dalam ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara serta usaha gigih dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, dinamik dan berdaya saing.

Sambutan itu juga katanya sebagai manifestasi komitmen kerajaan dalam memperkasakan TVET sebagai pilihan utama pembangunan modal insan negara.

Beliau turut mengajak orang ramai untuk hadir memeriahkan sambutan tersebut sebagai tanda sokongan kepada agenda kerajaan dalam menjadikan TVET sebagai tunjang pembangunan negara.

“Bidang TVET turut menyediakan ruang dan peluang pendidikan serta kerjaya kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk menerusi kerjasama pelbagai pihak.

“Jumpa anda di sana! TVET pilihan utama kerjaya” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Jelas beliau, inisiatif itu seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan peluasan akses pendidikan kepada semua, termasuk pelajar luar bandar, penambahbaikan fasiliti latihan serta bantuan kepada belia yang mahu membina masa depan melalui bidang kemahiran.

“Dengan sokongan padu daripada kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan serta komuniti, saya yakin TVET akan terus menjadi pemacu kepada negara yang inklusif, progresif dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button