BERITA SEMASA

Kerajaan perkukuh kesiagaan ATM, diplomasi pertahanan hadapi ketegangan Asia Pasifik

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus memperkukuh kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pemodenan aset, pembangunan keupayaan anggota serta rondaan dan pemantauan berterusan di perairan negara bagi menghadapi peningkatan ketegangan dan eskalasi ketenteraan di rantau Asia Pasifik.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendekatan itu dilaksanakan menerusi empat strategi utama di peringkat domestik, iaitu pemodenan aset dan pembangunan keupayaan ATM, pemantapan latihan serta pembangunan kapasiti anggota, memperkukuh kehadiran negara melalui rondaan keselamatan dan membangunkan daya tahan masyarakat.

“Kerajaan berpendirian untuk tidak mencampuri dasar pertahanan dan keselamatan negara lain, serta menghormati hak setiap negara berdaulat untuk menentukan dasar pertahanannya.

“Namun begitu, ini sama sekali tidak bermakna kita tidak memberi perhatian serius dan membuat persediaan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) di Dewan Rakyat hari ini berhubung pendirian kerajaan menghadapi peningkatan ketegangan ketenteraan di Asia Pasifik, khususnya langkah memastikan keselamatan negara dan kestabilan ASEAN.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia turut memperkukuh diplomasi pertahanan melalui kerjasama dua hala dengan negara dipercayai termasuk Jepun, Thailand, Vietnam dan Australia.

Katanya, kerjasama itu memberi tumpuan kepada perkongsian maklumat, pemindahan kepakaran, pembangunan kapasiti serta pelaksanaan latihan ketenteraan dan operasi berjadual bagi meningkatkan kesedaran domain maritim (Maritime Domain Awareness).

Selain itu katanya, Malaysia turut memanfaatkan kerjasama pelbagai hala menerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM), ADMM-Plus yang membabitkan negara ASEAN bersama lapan negara rakan dialog serta Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).

Katanya, Malaysia sentiasa menegaskan bahawa keamanan dan kestabilan rantau Asia Pasifik hanya dapat dipelihara melalui ASEAN yang aman, stabil dan bersatu.

Beliau berkata, Malaysia juga berpegang kepada prinsip Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) dengan mengambil pendekatan neutral, tegas dan seimbang dalam menangani persaingan kuasa besar di rantau berkenaan.

“Mana-mana negara yang ingin berurusan dengan ASEAN perlu menghormati prinsip dan komitmen yang terkandung dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) serta Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS),” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button