Program Ekonomi MADANI: ATM dijangka jana lebih RM600,000 dalam 30 bulan
KUALA LUMPUR – Program Ekonomi MADANI yang diperkenalkan di kem-kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka mampu menjana hasil sehingga RM604,000 dalam tempoh dua setengah tahun atau 30 bulan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program itu dilaksanakan secara berfasa dengan penyertaan keluarga anggota ATM di 90 kem tentera seluruh negara.
“Pada awalnya kita laksanakan projek ini secara percubaan untuk melihat sambutan isteri-isteri anggota, ternyata sambutannya amat baik. Kerajaan telah memperuntukkan RM10 juta bagi menjayakan inisiatif ini.
“Bagi projek madu kelulut, Boustead Plantations menanggung separuh kos rumah kelulut manakala kerajaan membayar selebihnya.
“Kita mulakan dengan 22 kem dan selepas itu diperluaskan hingga 90 kem dalam tempoh 30 bulan,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.
Menurut Mohamed Khaled, semua hasil tuaian termasuk madu kelulut dan tanaman herba akan dibeli Boustead Plantations Berhad, anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), sebelum diproses menjadi produk bernilai tambah.
“Pulangan untuk 22 kem dianggarkan sekitar RM146,000 setahun manakala untuk 90 kem, ia dijangka melebihi RM600,000 setahun.
“Hasil ini akan dipulangkan kepada Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) untuk memperkukuh kebajikan serta produk dalaman mereka,” jelasnya lagi.
Beliau turut memaklumkan projek tanaman herba telah dimulakan di Kem Perdana dengan tanaman pandan, serai serta ulam raja, yang mendapat minat daripada syarikat pemula Universiti Putra Malaysia (UPM).
Selain itu, Kem Mahkota Kluang sudah mula memperoleh hasil sekali gus memberi pendapatan sederhana kepada kira-kira 20 keluarga anggota tentera.
“Walaupun permulaannya sederhana, program ini berpotensi besar untuk berkembang dan memberi pulangan lumayan pada masa depan.
“Paling penting, ia membuka peluang warga ATM menyertai aktiviti ekonomi yang dirangka kerajaan supaya mereka tidak tercicir daripada menikmati manfaat inisiatif ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








