BERITA SEMASA

Operasi perobohan binaan haram di PPR Paya Nahu 2 hanya libatkan garaj dan stor, Tadika KEMAS tidak diusik – SUK Kedah

SUNGAI PETANI – Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Kedah menjelaskan operasi penguatkuasaan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paya Nahu 2 hari ini hanya melibatkan perobohan binaan tanpa kebenaran seperti garaj kereta dan stor yang didirikan di kawasan parkir awam.

Menurut kenyataan Bahagian Perumahan SUK Kedah, tindakan itu diambil susulan penyalahgunaan tapak letak kereta awam selain binaan terbabit menghalang kerja penyelenggaraan serta penyampaian perkhidmatan oleh pihak berkuasa.

“Notis penguatkuasaan telah dikeluarkan kepada penghuni yang terlibat pada 14 Julai lalu, dengan tempoh tujuh hari atau 30 hari diberikan bergantung kepada jenis struktur yang dibina tanpa kebenaran.

“Operasi hari ini hanya membabitkan 12 blok iaitu Blok A1 hingga A9 serta Blok A20, A21 dan A22, manakala penguatkuasaan akan diteruskan secara berperingkat di blok-blok lain sehingga selesai,” katanya hari ini.

Bahagian Perumahan memaklumkan operasi itu bertujuan memastikan kawasan PPR Paya Nahu 2 sentiasa teratur, bersih dan selamat di samping memastikan penghuni mematuhi syarat penyewaan yang ditetapkan.

Dalam masa sama, pihaknya menjelaskan berlaku salah faham berhubung dakwaan Tadika KEMAS di PPR Paya Nahu 2 turut terlibat dalam operasi berkenaan.

Menurut kenyataan itu, Bahagian Perumahan tidak menghalang Tadika KEMAS daripada terus beroperasi.

Sebaliknya, hanya binaan gerai tanpa kebenaran diberikan notis selama 30 hari untuk dirobohkan dan dikosongkan, dan gerai tersebut tidak termasuk dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan hari ini.

Bahagian Perumahan turut merakamkan penghargaan kepada semua penghuni atas kerjasama yang diberikan sehingga operasi berjalan lancar.

Pada masa sama, pihaknya turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat, termasuk Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Kuala Muda, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Muda, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Daerah Kuala Muda serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar atas komitmen mereka menjayakan operasi berkenaan.

Menurut Bahagian Perumahan, kerjasama semua pihak membolehkan operasi penguatkuasaan diselesaikan dengan baik, teratur dan mencapai objektif yang ditetapkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button