Tunggakan sewa PPR, PA ibu kota cecah RM70 juta
KUALA LUMPUR – Bayaran tunggakan sewa membabitkan penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di ibu kota sudah mencecah RM70 juta.
Angka ini, menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, memberi tekanan kepada penyelenggaraan dan pengurusan kemudahan komuniti.
Jelasnya, bagi menyelesaikan masalah berkenaan, pihaknya sudah mengambil beberapa langkah termasuk mewujudkan satu Task Force Culas Sewa (TFCS).
“Kami (telah) mengambil beberapa langkah termasuk memasang kunci air, mengeluarkan notis, mengadakan program advokasi kewangan serta pelan rundingan kepada penyewa bagi memastikan bayaran dijelaskan.
“Langkah ini penting supaya hasil kutipan sewa dapat dikembalikan kepada penduduk dalam bentuk perkhidmatan yang lebih baik,” katanya selepas menghadiri Program Kesejahteraan Komuniti Bandar Selamat ‘Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bestari’ 2025 di Dewan Serbaguna PPR Desa Rejang, di sini hari ini.
Jelas beliau, hasil kutipan sewa penting kerana ia digunakan semula untuk menampung kos penyelenggaraan bangunan, pembaikan kemudahan awam dan perkhidmatan yang dinikmati penduduk di kawasan perumahan awam serta PPR.
“Kita tidak akan dapat meneruskan perkhidmatan itu jika bayaran sewa tidak dijelaskan penyewa dan berharap pihak terbabit juga memahami tanggungjawab berkenaan.
“Sebab itu kita beri peluang kepada penyewa untuk runding semula, ada ruang untuk bayar ikut kemampuan tetapi mereka juga perlu faham tanggungjawab itu,” katanya lagi.
Dr Maimunah kemudiannya berkata, tindakan ke atas pihak yang culas membayar sewa dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan pemberian notis, advokasi dan akhirnya tindakan penguncian air.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








