DBKL lancar lima sistem digital perkukuh perkhidmatan bandar raya
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakar sejarah baharu dalam usaha transformasi perkhidmatan bandar raya ke arah lebih cekap dan responsif melalui pelancaran lima sistem digital baharu bersempena tema “Keselamatan Digital, Tanggungjawab Bersama”.
Pelancaran sistem BR1D 2.0, Adu@KL; Portal Rasmi DBKL versi baharu; KL City Manager dan KL Free WiFi itu disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah pada perasmian Sistem-Sistem Dalam Talian dan Program Kesedaran Digital DBKL di Auditorium DBKL, hari ini.
Majlis disaksikan Pengarah-Pengarah Eksekutif DBKL dan wakil rakan strategik termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), MyDigital ID, ITMAX System Berhad dan BlackBerry.
DBKL dalam kenyataannya berkata, transformasi digital itu diyakini mampu memudahkan urusan harian warga kota, sekali gus meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan.
“Melalui sistem Adu@KL, aduan rakyat dapat dipantau secara telus dan tindakan susulan diambil dengan lebih pantas, mencerminkan usaha berterusan DBKL dalam meningkatkan mutu perkhidmatannya.
“Dalam masa sama, aspek keselamatan siber turut diberi keutamaan,” katanya.
Melalui Dasar Keselamatan Siber 2025, DBKL memperkukuh benteng keselamatan digital dengan penggunaan firewall terkini, sistem pemantauan ancaman masa nyata serta latihan kesedaran berkala kepada warga kerjanya.
Langkah tersebut membuktikan bahawa keselamatan siber dan perlindungan data adalah tanggungjawab bersama.
“Kuala Lumpur turut diberi mandat sebagai tuan rumah Mesyuarat Datuk Bandar dan Gabenor Ibu Kota ASEAN 2025 serta menyokong penubuhan AI Cities Network bagi rantau Asia Tenggara.
“Peranan ini mengangkat kedudukan Kuala Lumpur sebagai bandar raya yang bersedia berkongsi pengalaman dalam pembangunan bandar pintar, khususnya penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara adil, telus dan beretika,” katanya.
Pelancaran itu bukan sekadar memperkenalkan sistem digital baharu tetapi juga menjadi simbol komitmen DBKL dalam membina masa depan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya yang lebih sejahtera, lebih bersedia dan terus disayangi warga kota.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








