Orang ramai ‘dah tak makan fitnah’, Tok Mat sangkal dakwaan BN mahu angkat sumpah di Istana Serting
REMBAU – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan dakwaan kononnya BN akan mengangkat sumpah di Istana Serting, Jempol sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai satu lagi naratif perang psikologi yang bertujuan mengelirukan pengundi.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, dakwaan tersebut tidak berasas dan merupakan taktik lama yang dimainkan pihak lawan untuk membangkitkan kemarahan rakyat terhadap BN.
“Ada istana di Jempol? Wallahu’alam. Saya pun tidak tahu. Itu di luar pengetahuan saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua di Rantau, di sini hari ini.
Mengulas dakwaan kononnya BN akan menghadap Yang di-Pertuan Besar yang lain sekiranya membentuk kerajaan negeri, beliau berkata perkara itu hanyalah sebahagian daripada propaganda politik.
“Itu naratif mereka untuk perang psikologi, supaya orang marah kepada BN. Saya tidak tahu langsung adanya perancangan seperti itu.
“Naratif mengatakan BN menang, Tuanku Mukhriz jatuh dan sebagainya, itu semua perang psikologi yang dibuat Pakatan Harapan,” katanya.
Beliau berharap pengundi tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan yang disifatkannya sebagai fitnah menjelang hari pengundian.
“Saya harap rakyat tidak termakan. Itulah gayanya dari dulu, fitnah, fitnah, fitnah. Tidak ada kerja lain.
“Dalam pilihan raya ini, kita sepatutnya meyakinkan rakyat tentang apa yang kita boleh buat dan apa yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, bukannya memfitnah orang,” katanya.
Menurut beliau, kematangan politik perlu diutamakan kerana rakyat kini semakin bijak menilai sesuatu dakwaan.
“Dewasalah segera. Please grow up kerana orang dah tak lagi makan fitnah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















