Murid hadiah wang, nota penghargaan buat guru baharu belum terima gaji
KUALA LUMPUR – Tindakan seorang murid sekolah rendah menghadiahkan sekeping nota berserta wang kepada gurunya meraih perhatian ramai selepas mengetahui guru berkenaan masih belum menerima gaji.
Perkongsian itu dimuat naik seorang guru menerusi akaun Threads miliknya, @Arifeman_ yang berkongsi pengalaman menyentuh hati bersama muridnya pada minggu lalu.
Menurut guru tersebut, murid berkenaan sebelum itu meminta dibelanja minuman selepas berjaya memperoleh gred A dalam pelajaran.
Bagaimanapun, dia memaklumkan hanya boleh berbuat demikian selepas menerima gaji kerana bayaran bagi guru baharu ditempatkan agak lewat.
Tidak lama kemudian, murid terbabit memberikan sekeping nota tulisan tangan yang diselitkan wang kertas kepada gurunya.
“Bagi saya cikgu merupakan cikgu yang terbaik di sekolah,” tulis murid itu dalam nota berkenaan.
Guru tersebut mengakui tersentuh dengan tindakan muridnya dan menyifatkan pemberian itu amat bermakna buat dirinya.
“Hampir menitik air mata jantan, semoga menjadi anak yang soleh dan berjaya dunia akhirat,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Perkongsian itu turut mendapat perhatian warga maya yang rata-rata memuji sikap prihatin murid berkenaan serta didikan ibu bapanya yang menerapkan nilai empati sejak kecil.
Seorang pengguna, @Nadeeya_Waris, berpendapat sikap pemurah murid itu berkemungkinan dipengaruhi amalan bersedekah dalam keluarganya.
Sementara itu, pengguna lain, @Rocketmonkey8668 menyifatkan murid berkenaan sebagai anak yang berjaya membanggakan ibu bapanya dengan akhlak terpuji.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








