
SK Dengkil lancar logo 100 tahun, perkukuh kerjasama PIBG depani era digital
DENGKIL – Sekolah Kebangsaan (SK) Dengkil melakar sejarah tersendiri apabila meraikan ulang tahun ke-100 penubuhannya sejak ditubuhkan pada 1926.
Majlis sambutan tersebut lebih bermakna apabila Logo Sambutan 100 Tahun sekolah tersebut turut dilancarkan serentak dengan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-48, di sini, hari ini.
Pelancaran disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Cyberview Sdn Bhd, Kamarul Ariffin Abdul Samad dengan turut dihadiri Guru Besar SK Dengkil, Maznah Mohd Noor dan Yang Dipertua PIBG, Mohammad Syahir Jamaluddin.
Menurut Maznah dalam ucapannya, sambutan seabad itu merupakan penghormatan kepada nilai sejarah sekolah yang ditubuhkan sejak 1926.
“Sekolah ini telah gagah berdiri meredah pelbagai garis masa dan menjadi saksi bisu kepada peristiwa bersejarah negara.
“Tempoh 100 tahun ini mewakili keringat, pengorbanan dan jasa ribuan pendidik serta ibu bapa terdahulu,” katanya.
Dalam pada itu, Mohammad Syahir dalam ucapannya, menyifatkan tahun 2026 sebagai detik bersejarah bagi seluruh warga sekolah.
Beliau menegaskan bahawa pencapaian SK Dengkil pada hari ini adalah hasil pengorbanan generasi terdahulu yang perlu diteruskan dengan tanggungjawab yang lebih besar.
“Tahun 2026 merupakan satu sejarah yang sangat monumental pada hemat saya untuk kita semua. Apabila usia penubuhan sekolah menjangkau satu abad, peranan dan tanggungjawab PIBG dengan sendirinya menjadi jauh lebih besar.
“Tidak terkira dan tidak ternilai jasa serta peranan generasi ibu bapa terdahulu yang telah mengangkat SK Dengkil ke tahap yang kita saksikan pada hari ini,” tegas beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





