SEMANGAT kesukanan yang tinggi, sokongan padu ibu bapa, dedikasi para guru serta komitmen murid-murid menjadikan Kejohanan Olahraga Tahunan Kali Ke-46 Sekolah Kebangsaan (SK) Dengkil sebagai satu kejayaan yang membanggakan.
Acara tahunan yang berlangsung dalam suasana penuh ceria dan berwarna-warni di Stadium Mini Bandar Baru Salak Tinggi semalam, turut menyaksikan penyertaan aktif daripada semua rumah sukan iaitu Merah, Biru, Kuning dan Hijau.
Tahun ini, Rumah Merah diumumkan sebagai juara keseluruhan setelah meraih markah tertinggi dalam acara yang dipertandingkan.

Guru Besar SK Dengkil, Norazlina Mohd Ali turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan kejohanan itu daripada guru, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), murid hingga komuniti setempat.
“Kejayaan hari ini adalah hasil usaha bersama yang telah dirancang sejak dua minggu lalu.
“Ia merangkumi dua fasa penting iaitu fasa pra-sekolah, PPKI dan sukaneka; serta fasa kedua iaitu acara olahraga yang berlangsung hari ini,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Menurut beliau, fasa olahraga merupakan titik tolak bagi pemilihan atlet berbakat untuk diketengahkan ke peringkat daerah dan negeri.
“Alhamdulillah, Anugerah Sekolah Sukan Terbaik Daerah Sepang 2024 yang diterima SK Dengkil baru-baru ini adalah hasil kerjasama erat guru-guru yang sentiasa proaktif dalam merancang, melatih dan membina pasukan sukan pelbagai kategori.
“Rekod kejayaan SK Dengkil dalam arena sukan semakin menyerlah apabila beberapa pasukan sekolah telah menembusi peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Antara pencapaian membanggakan termasuklah dalam sukan taekwando dan ragbi yang merupakan sukan kebitaraan SK Dengkil.
“Sukan lain seperti bola tampar, bola baling, hoki, sepak takraw dan bola sepak juga aktif dan menunjukkan prestasi cemerlang di peringkat daerah dan negeri,” jelas beliau.
Tegas Norazlina, sejak beliau memimpin SK Dengkil pada tahun 2023, fokus telah diberikan kepada pembangunan sukan sebagai salah satu kekuatan sekolah dan alat pembentukan sahsiah murid.
Sementara itu, Yang Dipertua PIBG SK Dengkil, Mohd Syahir Jamaluddin berkata, kejohanan sukan ini bukan sekadar acara rutin tahunan, malah ia berperanan sebagai platform mencungkil bakat baharu dan sebagai salah satu usaha ke arah pembangunan modal insan berkualiti.
“Semangat kesukanan yang ditunjukkan para pelajar hari ini sangat membanggakan, ditambah dengan sokongan luar biasa daripada ibu bapa dan para guru.

“Ini adalah petanda positif SK Dengkil berada pada landasan yang tepat untuk terus maju, seiring dengan pencapaian sebagai penerima Anugerah Sekolah Sukan Terbaik Daerah Sepang 2024,” ujar beliau.
Mohd Syahir turut menyeru agar lebih ramai ibu bapa tampil memberikan kerjasama pada masa akan datang, bukan sahaja sebagai penyokong tetapi juga sebagai pemudah cara dalam membina budaya sukan dalam kalangan murid-murid sejak di rumah lagi.
Kejohanan Olahraga Tahunan Kali Ke-46 bukan sahaja menyaksikan sorakan kejayaan Rumah Merah, tetapi juga memperlihatkan kesatuan hati seluruh warga SK Dengkil dalam menjayakan satu lagi momen bersejarah sekolah itu.
“Semua murid adalah pemenang hari ini. Apa yang lebih penting adalah semangat kesukanan yang mereka tunjukkan itulah kemenangan sebenar yang akan membawa SK Dengkil lebih jauh,” kata Mohd Syahir penuh semangat.
Dengan tema ‘SKD Bersatu Hati, Cemerlang dan Gemilang’, SK Dengkil membuktikan bahawa kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum mampu dicapai apabila wujud kesatuan dalam kalangan semua pihak iaitu guru, ibu bapa, murid dan komuniti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


