Real Madrid guna topeng berteknologi tinggi nilai kecergasan pemain
MADRID – Kelab Real Madrid mencuri perhatian apabila kelihatan menjalani sesi latihan dengan mengenakan topeng muka berwarna biru yang menyerupai peralatan oksigen latihan altitud tinggi.
Bagaimanapun, penggunaan topeng berkenaan bukan bertujuan meningkatkan keupayaan pernafasan seperti latihan di kawasan altitud tinggi, sebaliknya diperkenalkan oleh pengurus prestasi kelab, Antonio Pintus, bagi tujuan penilaian kecergasan pemain secara terperinci.
Menurut Pintus, peralatan berteknologi tinggi itu digunakan ketika ujian tekanan bagi menentukan had aerobik dan anaerobik pemain serta tahap kecergasan semasa pemain.
“Topeng itu direka untuk menentukan had aerobik dan anaerobik pemain serta tahap kuasa semasa mereka,” katanya dalam kenyataan kepada Real Madrid TV.
Terdahulu, skuad Los Blancos kembali menjalani latihan selepas berehat selama dua hari sebelum melalui sesi latihan intensif tersebut.
Gambar yang dikongsi di media sosial kelab itu memaparkan pemain menjalani pelbagai latihan fizikal sambil memakai topeng muka biru bersaiz besar yang disambungkan kepada peranti khas pada badan.
Topeng berkenaan merupakan sebahagian daripada set peralatan analisis kardiovaskular mudah alih termaju, iaitu model Cosmed V5, yang dianggarkan bernilai sekitar AS$35,000 (RM138,600) seunit termasuk kos perisian.
Peralatan itu terdiri daripada topeng yang diikat di belakang leher menggunakan tali serta beg galas kecil berkapasiti 2.4 liter dengan berat kira-kira satu paun.
Beg galas tersebut berfungsi menerima data daripada topeng dan menghantarnya secara masa nyata ke komputer atau tablet melalui sambungan Bluetooth.
Data masa nyata itu membolehkan kelab itu menentukan tahap maksimum keupayaan fizikal pemain yang boleh dicapai tanpa menyebabkan mereka berlebihan atau mengalami keletihan melampau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








