BERITA SEMASA

JPNS belum terima laporan guru tidak dapat hadiri perkahwinan sendiri kerana mesyuarat PIBG

SEREMBAN – Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) belum menerima sebarang laporan dakwaan seorang guru yang tidak dapat menghadiri majlis perkahwinannya kerana perlu menyertai mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di daerah ini.

Perkara itu disahkan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar, lapor portal Buletin Utama.

“JPNS belum dapat membuat sebarang pengesahan kesahihan berita ini. Kita sedang mendapatkan maklumat lanjut berkaitan isu berkenaan.

“Sehingga pagi ini, kita belum menerima sebarang laporan ataupun aduan oleh mana-mana pihak, ” katanya, hari ini.

Laporan media sebelum ini menyebut mengenai hantaran seorang pengguna media sosial di aplikasi X mengenai ibunya menghadiri satu majlis perkahwinan di Sabak Bernam namun tanpa pengantin.

Pemilik akaun itu mendakwa, pengantin perempuan yang bertugas sebagai seorang guru di sebuah sekolah di Seremban tidak dapat berada di hari persandingannya kerana tidak dibenarkan mengambil cuti.

“Pengetua tidak benarkan cuti disebabkan ada mesyuarat PIBG. Jadi dia tidak dapat hadir pada majlis perkahwinan sendiri, sedihnya.

“Saya terkejut dengar cerita ini. Pengantin hanya sampai di Sabak Bernam hampir jam 6 petang disebabkan kesesakan lalu-lintas pada hari cuti,” kongsinya.

Dia mendakwa, ibunya mendapati guru terbabit sudah memohon cuti tiga bulan lebih awal, namun hanya dimaklumkan cuti tidak diluluskan tiga minggu sebelum majlis.

“Secara tiba-tiba lagi tiga minggu sebelum majlis, pengetua beritahu tak dapat cuti sebab ada PIBG. Lagi tiga minggu majlis baru pengetua cakap tak boleh, sedangkan kad sudah diedar,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button