BERSATU pertahan tindakan di Perlis, sangkal dakwaan PAS
KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mempertahankan tindakannya dalam kemelut politik di Perlis serta menolak dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berhubung hubungan kedua-dua parti dalam Perikatan Nasional (PN).
Dalam kenyataan media hari ini, Biro Politik BERSATU menegaskan beberapa isu termasuk pertukaran Menteri Besar Perlis, kekuatan jentera parti, tindakan disiplin terhadap ahli dan krisis politik di Negeri Sembilan sepatutnya diselesaikan menerusi rundingan dalaman demi memelihara keharmonian gabungan PN.
Menurut kenyataan itu, penjelasan dibuat susulan kenyataan Abdul Hadi dalam sidang media di Rusia pada 22 Mei lalu yang menyentuh beberapa asas untuk PAS mengkaji semula hubungan dengan BERSATU.
Mengenai isu pertukaran Menteri Besar Perlis, BERSATU menegaskan pelantikan jawatan itu adalah kuasa budi bicara Raja Perlis dan tidak wajar dipertikaikan.
Menurut parti itu, Raja Perlis sebelum ini telah memberi ruang kepada PAS untuk menyelesaikan kemelut politik negeri berkenaan, termasuk menitahkan Presiden BERSATU dan Presiden PAS menghadap baginda bagi membincangkan kedudukan Menteri Besar.
“Selepas itu, Raja Perlis menitahkan kedua-dua parti mengemukakan nama calon Menteri Besar untuk dipertimbangkan oleh baginda.
“BERSATU menjunjung titah Tuanku dan menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara baginda sama ada melantik Menteri Besar daripada BERSATU atau PAS mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis,” menurut kenyataan tersebut yang dikongsikan bekas pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Sehubungan itu, BERSATU menyifatkan dakwaan kononnya parti itu mengkhianati PAS sebagai tidak berasas kerana tindakan yang diambil adalah selaras dengan titah Raja Perlis.
BERSATU turut menafikan dakwaan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu menarik sokongan terhadap Menteri Besar daripada PAS.
Menurut kenyataan tersebut, wakil rakyat BERSATU hanya menyerahkan kepada kebijaksanaan Raja Perlis untuk menentukan penyelesaian terbaik terhadap kemelut politik negeri berkenaan mengikut kuasa budi bicara baginda.
Dalam perkembangan lain, BERSATU menolak dakwaan bahawa parti itu mempunyai ramai calon tetapi tidak memiliki jentera pilihan raya yang kukuh.
Menurut parti itu, BERSATU kini menerima ratusan permohonan keahlian baharu setiap hari dan sedang memperkukuh organisasi di peringkat akar umbi, khususnya melibatkan golongan muda.
“Jenama BERSATU, rekod kepimpinan serta dasar yang dekat dengan rakyat menjadi faktor utama yang terus menarik sokongan pengundi kepada calon-calon parti dan rakan gabungan dalam Perikatan Nasional,” katanya.
Menyentuh isu tindakan disiplin terhadap ahli, BERSATU menjelaskan setiap parti politik mempunyai peraturan dan tatacara disiplin tersendiri yang perlu dipatuhi semua ahli.
Menurut kenyataan itu, cadangan rombakan melibatkan Exco kerajaan negeri dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri di Kedah serta Kelantan tidak sepatutnya dianggap sebagai usaha mengganggu pentadbiran kerajaan negeri.
“Jawatan yang disandang oleh Exco dan Timbalan Speaker tersebut adalah atas kapasiti mereka sebagai ahli BERSATU. Sekiranya Lembaga Disiplin parti membuat keputusan tertentu, ia perlu dihormati mengikut peraturan organisasi,” jelas kenyataan tersebut.
Mengenai krisis politik di Negeri Sembilan pula, BERSATU memaklumkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bersama Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah bekerjasama sejak awal bagi menguruskan situasi tersebut.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua parti bersetuju supaya lima ADUN PN di Negeri Sembilan, membabitkan dua ADUN BERSATU dan tiga ADUN PAS, bekerjasama dengan 14 ADUN UMNO bagi menjamin kestabilan serta kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri.
Bagaimanapun, pendirian Biro Politik UMNO dan Presiden UMNO sempena sambutan ulang tahun ke-80 parti itu yang memutuskan 14 ADUN UMNO kekal bersama Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan menyebabkan usaha berkenaan tidak diteruskan.
Dalam pada itu, BERSATU turut menyangkal dakwaan bahawa parti itu menolak agenda penyatuan ummah dengan tidak menyokong permohonan parti lain untuk menyertai PN.
Menurut kenyataan tersebut, BERSATU kesal dengan tuduhan yang dilemparkan Presiden PAS dan menegaskan parti itu sentiasa berpegang kepada prinsip musyawarah serta perbincangan dalam Majlis Tertinggi PN berhubung sebarang perkara dasar dan isu berbangkit.
BERSATU pada masa sama menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh kerjasama dalam PN dan berharap segala perbezaan pandangan dapat diselesaikan secara matang demi kepentingan gabungan serta rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








