Kemelut BERSATU: Ibu pejabat akan putuskan status bahagian Dungun setelah terima laporan
KUALA TERENGGANU – Status BERSATU bahagian Dungun akan diputuskan ibu pejabat parti.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Badrolhisham Shafie berkata, ibu pejabat akan membuat keputusan sama ada bahagian itu akan digantung atau terbubar selepas menerima laporan daripada Badan Pimpinan negeri.
“Setakat ini Majlis Badan Pimpinan BERSATU negeri belum menerima laporan rasmi mengenai pembubaran parti di bahagian itu.
“Kita hanya menerima laporan daripada media lebih 1,500 ahli BERSATU bahagian Dungun meletakkan jawatan, tetapi tiada maklumat mengenai pembubaran parti itu,” katanya, hari ini.
Semalam, bekas Pengerusi BERSATU bahagian Dungun, Datuk Abdul Aziz Ismail dilaporkan sebagai berkata, kira-kira 1,880 ahli parti bahagian Dungun mengumumkan keluar parti dan melepaskan semua jawatan berkuat kuasa serta-merta.
Abdul Aziz antara 17 pimpinan tertinggi parti, termasuk bekas Timbalan Presiden, Daruk Seri Hamzah Zainudin dikenakan pemecatan keahlian oleh Lembaga Disiplin, Jumaat lalu.
Mengulas lanjut, Badrolhisham berkata, BERSATU negeri juga belum menerima pengesahan rasmi jumlah keahlian parti daripada bahagian yang didakwa dibubar tersebut.
Katanya, pembubaran parti bukannya kuasa mutlak jawatankuasa parti di bahagian, sebaliknya hanya akan diputuskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








