Malaysia Sarong Music Run 2025: PM gembira lihat anak muda promosi warisan seni budaya Malaysia
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gembira melihat anak muda mempromosi dan menjulang warisan seni budaya Malaysia dengan memakai kain sarung dan berbusana tradisional.
Menyertai Malaysia Sarong Music Run 2025 yang dihadiri lebih 10,000 rakyat berbilang kaum semalam, Perdana Menteri berbangga dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan rakyat Malaysia menerusi acara itu.
“Memanfaatkan hari ini dengan beriadah bersama lebih 10,000 rakyat berbilang kaum yang bersama-sama memeriahkan acara jalan kaki kebudayaan Malaysia Sarong Music Run 2025.
“Alhamdulillah, saya turut bersama menyertai acara ini dengan berjalan kaki sejauh kira-kira tiga kilometer di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, penganjuran acara itu selaras dengan gagasan Madani yang menjadi teras pembangunan negara di bawah Kerajaan hari ini, yang menghargai dan memberi pertimbangan khusus terhadap kekayaan khazanah warisan negara
“Penghargaan tertinggi buat penganjuran acara hebat ini yang memberi ruang unik untuk memperagakan warisan budaya kita, selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Semoga acara seumpama ini dipercambahkan dan menjadi wadah untuk kita memperkukuh semangat persahabatan serta memupuk kecintaan antara rakyat berbilang kaum dan budaya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








