Mad kini mampu berjalan perlahan, akan dihantar pulang ke kampung – Abbe Hae
KUALA LUMPUR – Selepas melalui fasa sukar akibat masalah kesihatan, Mohamad Amin atau lebih dikenali sebagai Mad kini menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila sudah mampu berjalan secara perlahan dan dibenarkan keluar dari Hospital Batu Pahat.
Perkembangan tersebut dikongsikan aktivis masyarakat, Abbe Hae yang sebelum ini membantu mendapatkan rawatan untuk Mad yang ‘terperangkap’ di sebuah kediaman di Kajang kerana kesukaran untuk bergerak sendiri.
Menurut Abbe Hae, selepas menerima rawatan keadaan fizikal pemuda itu semakin baik berbanding ketika ditemui sebelum ini.
“Mad dah boleh jalan sikit-sikit dan sudah dibenarkan keluar hospital. Perutnya juga semakin kecil berbanding waktu saya selamatkan dia dulu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Bagaimanapun, timbul kebimbangan apabila Mad memaklumkan dia tidak mempunyai kemudahan pengangkutan untuk pulang ke rumah pusaka arwah datuk dan neneknya di Kampung Parit Lapis, Batu Putih, memandangkan keadaannya masih belum pulih sepenuhnya.
Menurut Abbe, usaha menghubungi bapa saudara Mat iaitu Pak Ali juga tidak berjaya kerana lelaki itu juga kurang sihat.

Dalam usaha mencari jalan penyelesaian, beliau teringat kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Batu Pahat yang sebelum ini menyatakan hasrat menziarahi Mad di hospital.
Beliau kemudian menghubungi wakil Pertubuhan Kebajikan Kenangan Batu Pahat yang dikenali sebagai Wan dan pihak tersebut bersetuju untuk menghantar Mad pulang ke kampung halamannya.
Tambah Abbe, apa yang lebih mengharukan apabila Wan turut berhasrat membelikan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan Mad di dalam rumah sepanjang tempoh pemulihan.
“Hanya Allah saja yang mampu membalas apa yang Wan lakukan. Insya-Allah, lepas raya nanti Abbe akan ziarah Mad dan bertemu mata dengan Wan serta rakan rakannya di Batu Pahat,” katanya.
Terdahulu, Malaysia Tribune berkongsikan video TikTok Abbe Hae membawa keluar lelaki berkenaan dari tingkat satu sebuah rumah menggunakan bantuan anggota bomba.
Video berkenaan mendapat lebih 5 juta tontonan setakat ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








