
Bantuan Ramadan RM500 palsu – MOF
KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) memberi amaran kepada orang ramai agar tidak terpedaya dengan penyebaran mesej palsu berhubung dakwaan Bantuan Ramadan RM500 secara ‘one-off’ serta tuntutan Kredit E-Tunai yang kini tular di media sosial.
Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu menegaskan bahawa tiada sebarang permohonan atau program seperti yang didakwa sedang dibuka mahupun dikreditkan secara berperingkat.
Menurut MoF, penyebaran maklumat tidak sahih itu dipercayai bertujuan mengelirukan orang ramai dan berpotensi menjadi taktik penipuan bagi mendapatkan maklumat peribadi mangsa.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak klik sebarang pautan yang meragukan, tidak berkongsi maklumat peribadi kepada sumber yang tidak disahkan serta sentiasa menyemak kesahihan maklumat melalui saluran rasmi kementerian,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, MoF menggesa masyarakat agar mendapatkan maklumat sahih hanya menerusi laman web rasmi di www.mof.gov.my serta platform media sosial rasmi kementerian.
Kementerian turut mengingatkan orang ramai supaya menghentikan penyebaran mesej palsu dan mengamalkan sikap ‘semak sebelum kongsi’ bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa penipuan dalam talian.
Tegas MoF, sebarang pengumuman berkaitan bantuan kerajaan akan dimaklumkan secara rasmi melalui saluran komunikasi yang sah dan bukannya melalui pautan tidak dikenali di media sosial atau aplikasi pesanan ringkas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








