BERITA SEMASADALAM NEGERIINISIATIF KERAJAAN

Perak salur RM1,000 kepada waris mangsa nahas bas UPSI

IPOH – Kerajaan Negeri Perak menyalurkan bantuan segera RM1,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas bas sewa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, awal pagi tadi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bantuan itu bertujuan membantu urusan awal keluarga mangsa seperti penginapan dan perbelanjaan lain.

Beliau berkata demikian ketika hadir di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

“Kita amat sedih dengan tragedi ini. Semoga semua yang terkorban dirahmati Allah dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Kerajaan negeri amat memahami beban emosi dan kewangan yang ditanggung oleh waris, terutamanya mereka yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Bantuan ini bukan soal nilai, tetapi tanda keprihatinan kami terhadap kesedihan yang ditanggung keluarga. Diharap ia dapat membantu serba sedikit dalam menguruskan keperluan mendesak,” katanya memetik Kosmo.

Kemalangan bas sewa pelajar UPSI berhampiran Tasik Banding awal pagi tadi mengorbankan 15 nyawa.

Setakat ini, 13 jenazah dibawa ke HRPB untuk proses pengecaman dan dokumentasi oleh pihak hospital serta waris.

Dua mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Gerik dan proses pengurusan jenazah akan dijalankan di hospital tersebut.

Sementara itu, pihak UPSI turut tampil memberikan sokongan emosi kepada keluarga dengan menyediakan perkhidmatan kaunseling dan pengurusan penghantaran jenazah ke kampung halaman masing-masing.

“Kenderaan jenazah dan wakil pengiring disediakan bagi memastikan urusan pengebumian dapat dijalankan dengan lancar dan teratur,” jelasnya.

Tragedi itu meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada warga UPSI, malah seluruh rakyat negeri Perak yang turut merasai kesedihan atas kehilangan tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button