Normalisasi budaya songsang lemahkan maruah, integriti Muslim
Tindakan sedemikian turut tolak hikmah kejadian manusia
KUALA LUMPUR – Tindakan menormalisasi budaya songsang akan melemahkan maruah dan integriti moral seorang Muslim serta membuka ruang kepada pelbagai bentuk maksiat lain.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, amalan tersebut juga boleh menyebabkan hilangnya sifat malu dalam diri, selain mendorong kepada kecelaruan identiti dan keruntuhan nilai dalam kalangan generasi muda.
Amalan sedemikian juga menolak hikmah yang terkandung dalam kejadian manusia, malah merosakkan struktur semula jadi individu itu sendiri.
“Hubungan sejenis adalah penyimpangan daripada fitrah semula jadi dan boleh mengakibatkan kekeliruan identiti serta masalah psikososial dalam kalangan masyarakat.
“Perlu diingat bahawa kestabilan dan kemajuan sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada kekuatan ekonomi, tetapi lebih utama pada kekuatan institusi kekeluargaan dan moral yang dipegang teguh oleh setiap rakyatnya,” katanya dalam hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.
Bagi membendung gejala tersebut, Ahmad Fauwaz berkata, beberapa langkah menyeluruh perlu diambil termasuk memperkasakan fungsi institusi kekeluargaan sebagai benteng utama, serta memberikan pendidikan berasaskan ilmu dan kefahaman syariah yang mendalam.
“Selain itu, melaksanakan penerangan agama secara bijaksana, berhikmah dan berkesan.
“Membina dasar-dasar negara yang selaras dengan tujuan syarak dalam memelihara agama menerusi aspek Maqasid al-Tadayyun dan membangunkan peradaban negara (Maqasid al-‘Umran),” katanya lagi.
Selain itu, pendekatan lain yang boleh diambil ialah mewujudkan kerjasama erat antara ibu bapa, masyarakat dan pihak berkuasa.
“Apabila masyarakat teguh berpandukan nilai agama yang sahih, negara akan menikmati keamanan, kemakmuran dan sentiasa berada dalam keberkatan Allah SWT.
“Justeru, pertahankanlah keamanan yang telah terbina ini dan janganlah ia diruntuhkan dengan budaya serta perilaku songsang yang tidak bermoral dan bercanggah dengan kelestarian manusia,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







