AGAMA

Larangan hidang arak dalam majlis rasmi cerminan rasa hormat – Mufti Wilayah

KUALA LUMPUR – Hidangan minuman arak dalam majlis rasmi kerajaan disifatkan bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi negara serta menyinggung sensitiviti majoriti rakyat Malaysia yang beragama Islam.

Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil menegaskan, tindakan sedemikian bukan sahaja mencabar nilai agama malah bercanggah dengan roh Perlembagaan yang seharusnya menjadi panduan utama dalam sebarang urusan rasmi negara.

Beliau berkata, Malaysia turut dikenali sebagai Hab Halal Global dan menjadi rujukan antarabangsa dalam pensijilan halal, justeru sebarang majlis rasmi kerajaan perlu mencerminkan identiti tersebut.

“Penghidangan arak dalam majlis rasmi yang melambangkan kerajaan mencemarkan imej negara serta menjejaskan reputasi Malaysia sebagai negara Islam contoh di mata dunia,” katanya menerusi kenyataan Tinta Mufti Bil. 29/2025 hari ini.

Menurut beliau, larangan terhadap arak bukan hanya bersifat keagamaan semata-mata, bahkan berasaskan faktor keselamatan dan kesejahteraan awam.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 213 kes kemalangan maut pada 2024 berpunca daripada pemandu mabuk manakala 87 kes direkodkan bagi separuh pertama tahun 2025.

“Ini membuktikan bahawa arak mendatangkan kemudaratan nyata kepada masyarakat dan bukan sekadar isu moral atau agama,” jelasnya.

Sehubungan itu, pihak mufti menggariskan tiga prinsip utama yang perlu dipatuhi semua pihak khususnya agensi kerajaan.

Pertama, semua makanan dan minuman yang dihidangkan dalam majlis rasmi mesti disahkan halal oleh pihak berautoriti seperti JAKIM atau JAIN.

Kedua, mana-mana majlis yang melibatkan hidangan arak tidak boleh menggunakan simbol, logo atau lambang kerajaan.

Ketiga, acara sedemikian jika diadakan tidak boleh bersifat terbuka bagi memelihara sensitiviti agama dan norma masyarakat.

Ustaz Ahmad Fauwaz menegaskan, Islam bukan sahaja mengharamkan pengambilan arak, tetapi juga sebarang bentuk kerjasama atau penglibatan dengannya.

“Dalam konteks Malaysia sebagai negara Islam dan Hab Halal Dunia, tindakan menghidang arak dalam majlis rasmi kerajaan mencemarkan imej negara serta menimbulkan keresahan umat Islam,” katanya.

Beliau menyeru semua pihak agar menghormati Perlembagaan, mematuhi hukum syarak serta menjaga keharmonian masyarakat demi perpaduan nasional.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button