BERITA SEMASA

Siasat segera program berunsur penyelewengan agama dan moral – Mufti Wilayah

Umat Islam dilarang amalkan ritual agama lain

PUTRAJAYA – Pihak berkuasa agama dan tempatan perlu menyiasat dan mengambil tindakan terhadap program yang mengandungi unsur penyelewengan agama dan moral.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, orang Islam tidak boleh mempraktikkan ritual agama lain yang mempunyai kepercayaan atau fahaman yang sesat walaupun terdapat kemungkinan manfaat padanya.

“Ini kerana, kemurnian akidah dan kesucian agama adalah lebih utama dan penting untuk dipelihara berbanding daripada mendapat manfaat yang sedikit (daripada program) itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial hantaran dibuat individu dikenali sebagai ‘Masyitah Ashari’ mengenai satu program motivasi dan bimbingan rumah tangga dikatakan dikendalikan sepasang suami isteri didakwa menyebarkan ajaran bertentangan dengan ajaran Islam yang menyasarkan wanita.

Ahmad Fauwaz kemudiannya berkata, program itu seakan-akan menggalakkan wanita untuk tidak berkahwin dan tidak bersuami kerana mereka mampu mencapai kebahagiaan dan kepuasan nafsu sendiri.

Menurutnya, ajaran itu jelas bertentangan dengan sunah Rasulullah SAW kerana wujudnya penafian terhadap fitrah dan keinginan semula jadi manusia untuk berkahwin sekali gus merencatkan institusi kekeluargaan.

Selain itu, program tersebut yang menggunakan unsur-unsur seksual dan mempromosikan masturbasi sebagai bentuk rawatan emosi juga adalah satu penyelewengan yang nyata.

Jelas beliau, Islam menegaskan perlunya penjagaan maruah serta kehormatan diri dan galakan terhadap aktiviti seksual secara bebas boleh membawa kepada penzinaan, ketagihan seksual dan menghilangkan rasa malu.

“Bahkan memiliki dan menjual alatan atau bahan-bahan yang memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan moral atau kepentingan awam adalah dilarang dan boleh dianggap satu jenayah di sisi undang-undang negara,” katanya.

Sehubungan itu, kata Ahmad Fauwaz, program seperti itu perlu diganti dengan bimbingan emosi dan motivasi daripada pakar yang bertauliah, berlandaskan ajaran Islam yang sahih serta berasaskan al-Quran dan sunah.

Dalam masa sama, beliau menegur ahli motivasi supaya sentiasa cakna dengan sebarang intipati program jati diri dan penyediaan modul yang boleh menyesatkan akidah serta meruntuhkan moral dan akhlak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button