Proses ketatkan otot faraj guna rawatan laser haram
KUALA LUMPUR – Proses rawatan “laser vaginal tightening” atau mengetatkan otot faraj yang longgar bagi tujuan kosmetik adalah haram di sisi ajaran Islam.
Menurut Irsyad Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan, ini kerana proses itu melibatkan mengubahsuai ciptaan Allah.
“Haram bagi tujuan kosmetik (tahsiniyyat) semata-mata mahupun meningkatkan kepuasan seks pasangan.
“Larangan tersebut atas faktor -faktor kelonggaran faraj merupakan proses semula jadi yang berlaku akibat penuaan atau kekerapan bersalin, maka ia termasuk dalam mengubah ciptaan-Nya.
“Ancaman fitnah kerana melibatkan pendedahan aurat yang bukan bertujuan keperluan perubatan,” katanya dalam penulisan yang diterbitkan pada 21 Disember 2023.
Bagaimanapun katanya, rawatan itu diharuskan bagi tujuan merawat penyakit (daruriyyat) atau kecacatan akibat kesan kemalangan agar dapat mengembalikan semula bentuk asal serta memulihkan fungsinya.
Justeru katanya, perkara yang perlu dipertimbangkan dalam penentuan hukum adalah niat melakukan “laser vaginal tightening” sama ada ia bertujuan kosmetik semata-mata atau atas dasar maslahat daruriyyat atau hajiyyat .
Hal ini kerana katanya, rawatan kosmetik yang boleh mengubah ciptaan-Nya hanya boleh diterima pada situasi keperluan mendesak (daruriyyat) dan bukan semata-mata untuk kecantikan serta kepuasan nafsu.
Terdahulu, tular di media sosial apabila seorang wanita berkongsi rawatan mengetatkan faraj menggunakan kaedah laser.
Perkongsian itu mendapat kecaman pelbagai pihak kerana tidak sensitif terhadap isu yang dibincangkan secara terbuka di media sosial.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







