BERITA SEMASA

Henti polemik penggunaan istilah ‘bukan Islam’ dan kafir

PUTRAJAYA – Semua pihak perlu berhati-hati dan tidak mudah mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham masyarakat dan membuka ruang fitnah terutamanya dalam isu yang melibatkan keagamaan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah berkata, antaranya termasuk penggunaan istilah-istilah hukum hakam agama tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya untuk tujuan kepentingan tertentu yang tidak berasaskan kepada asas ilmu Islam yang sebenar.

“Polemik yang berpanjangan tanpa mempunyai nilai ilmiah dan adab yang baik akan menambahkan lagi kekeliruan dalam masyarakat dan boleh membawa kepada perbalahan dan perpecahan.

“Sikap sindir-menyindir, mengeluarkan kata-kata kesat, tuduh-menuduh dengan menggunakan media sosial tanpa adab tidak menguntungkan umat Islam yang sangat mementingkan perpaduan sebagai kekuatan umat,” katanya dalam satu hantaran berjudul ‘An-Nasihah #06: Isu penggunaan istilah ‘bukan Islam’ dan kafir’ di Facebook, hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai tindak balas kepada polemik penggunaan perkataan ‘kafir’ yang kini diperdebatkan pelbagai pihak.

Menurut Dr Luqman, gelaran kafir merupakan kalimah dalam bahasa Arab dan banyak kali disebut dalam al-Quran dan hadis dengan pelbagai pecahan kata di sebanyak lebih kurang 310 tempat.

“Ia adalah merujuk kepada orang yang tidak beriman kepada Allah SWT dan Rasul. Oleh itu, penggunaan istilah ini telah termaktub dalam al-Quran dan hadis.

“Ia adalah istilah yang melambangkan perbezaan antara iman dan kekufuran dan ia tidak berubah penggunaannya,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, penggunaan dalam konteks interaksi antara orang Islam dan bukan Islam boleh berubah mengikut keadaan, tempat dan situasi yang memerlukan kepada istilah yang lebih harmoni khususnya dalam uslub dakwah.

Merujuk kepada video yang tular, adalah tidak adil untuk terus menghukum dan mengeji berasaskan kepada potongan video tanpa melihat kepada konteks keseluruhan yang dimaksudkan dalam ucapan berkenaan.

“Masyarakat perlu mengambil sikap berhati-hati dan cuba mendapat maklumat yang lebih terperinci sebelum membuat sebarang komen.

“Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, dengan mafhumnya ‘Memadai seseorang itu dikatakan pendusta apabila dia menyampaikan semua yang dia dengar.’ (Riwayat Muslim),” kata Luqman lagi.

Sehubungan itu, di bulan Ramadan ini, masyarakat dinasihatkan supaya lebih menumpukan kepada ibadah dan tidak menimbulkan banyak polemik yang berpanjangan yang membawa kepada natijah yang tidak baik kepada keharmonian masyarakat.

“Sebarang perbezaan pandangan boleh dikongsikan dengan cara yang baik dan bukannya dalam bentuk kejian dan fitnah,” kata Luqman lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button