KUALA LUMPUR – Lafaz baiah dalam konteks organisasi atau politik bukanlah ketaatan mutlak yang wajib diikuti tanpa syarat, sebaliknya ia tertakluk kepada prinsip dan batasan syariat Islam.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan perkara itu bagi menjernihkan kekeliruan masyarakat yang sering salah faham mengenai konsep baiah sehingga disamakan secara tidak tepat dengan baiah kenegaraan menurut syarak.
Menerusi hantaran poster di Facebook, ia menjelaskan bahawa istilah baiah mempunyai beberapa bentuk dan konteks yang berbeza sekali gus tidak boleh disamaratakan dari sudut hukum dan implikasi agama.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, baiah organisasi merupakan bentuk komitmen dan disiplin dalam sesebuah jemaah, pertubuhan atau kumpulan yang berfungsi bagi menjaga kesepaduan dan tadbir urus dalaman.
Bagaimanapun, baiah jenis itu ditegaskan bukan baiah kenegaraan dan tidak membawa maksud ketaatan mutlak.
“Ketaatan dalam baiah organisasi terikat sepenuhnya dengan syariat Islam, selaras dengan prinsip ‘tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Allah’.
“Justeru, pelanggaran baiah organisasi tidak menjadikan seseorang itu kufur dan tidak menjejaskan iman,” jelasnya.
Tambahnya, baiah syarie merujuk kepada akad ketaatan kepada pemerintah Islam yang sah dan berkait secara langsung dengan urusan kenegaraan serta kepentingan umat.
Menurut beliau, hadis Nabi SAW yang menyebut tentang kematian dalam keadaan ‘jahiliah’ bagi individu yang tidak mempunyai baiah sebenarnya merujuk kepada ketiadaan baiah kepada khalifah atau pemerintahan Islam yang sah, bukan baiah kepada pertubuhan, parti atau kumpulan tertentu.
Dalam pada itu, ia turut menjelaskan konsep baiah tarekat iaitu ikatan rohani antara murid dan guru bertujuan pembinaan akhlak serta penyucian jiwa (tazkiyah al-nafs) yang bersifat spiritual dan tidak berkait urusan politik atau kuasa negara.
Berhubung implikasi pelanggaran baiah organisasi, beliau menyatakan bahawa pendekatan yang wajar adalah melalui mekanisme pentarbiahan dan pentadbiran seperti taubat, kafarah, sumpah atau pampasan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





