BERITA SEMASA

Giorgio Armani meninggal dunia pada usia 91 tahun

MILAN – Dunia fesyen antarabangsa berduka apabila pereka pakaian legenda Itali, Giorgio Armani disahkan meninggal dunia pada usia 91 tahun, semalam.

Khabar duka itu diumumkan oleh Armani Group yang menyifatkan pengasasnya itu sebagai ‘sosok pencipta, pengasas dan tenaga penggerak yang tidak pernah mengenal penat’ sepanjang lebih lima dekad membangunkan empayar fesyen yang kekal berpengaruh sehingga hari ini.

“Dengan penuh kesedihan, kami mengumumkan pemergian Giorgio Armani. Kami berikrar untuk meneruskan legasi yang telah dibinanya dengan penuh hormat, tanggungjawab dan kasih sayang,” kata kenyataan rasmi syarikat itu.

Armani yang terkenal dengan rekaan ringkas namun elegan, dilapor menghembuskan nafas terakhir di Milan, selepas menarik diri daripada Minggu Fesyen Lelaki Milan pada Jun lalu berikutan masalah kesihatan.

Sepanjang kariernya, jenama Armani berkembang menjadi antara label fesyen terbesar dunia dengan mencatatkan pendapatan tahunan kira-kira €2.3 bilion (RM11.8 bilion).

Berita pemergian tokoh besar itu turut mendapat perhatian ramai artis dan selebriti dunia.

Pelakon Hollywood, Julia Roberts, antara rakan rapat Armani, menzahirkan penghormatan terakhir menerusi Instagram dengan menyifatkannya sebagai “seorang sahabat sejati dan legenda”.

Menurut kenyataan rasmi, jenazah Armani akan ditempatkan di kamar duka awam di Milan pada hujung minggu ini untuk memberi peluang kepada orang ramai memberikan penghormatan terakhir sebelum upacara pengebumian secara tertutup diadakan pada Isnin.

Walaupun tidak meninggalkan zuriat, Armani telah merangka struktur pewarisan sejak 2016 bagi memastikan empayar fesyennya kekal bebas dan tidak mudah diambil alih pihak luar.

Yayasan khas serta ahli keluarga terdekat dilantik untuk meneruskan kesinambungan perniagaan yang menjadi warisan beliau.

Pemergian Armani menutup satu era dalam dunia fesyen moden, namun warisan rekaan serta pengaruhnya akan terus terpahat dalam sejarah industri itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button