BERITA SEMASA

Polis perluas pemantauan trafik kawasan sekolah di ibu negara

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur akan memperluaskan pemantauan keselamatan jalan raya dengan menempatkan lebih ramai anggota trafik di 122 sekolah menengah di ibu negara bagi memastikan pelajar mematuhi peraturan lalu lintas serta mengurangkan risiko kemalangan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, inisiatif yang melibatkan semua sekolah menengah kerajaan dan swasta itu merangkumi aspek pendidikan, pemantauan dan penguatkuasaan sebagai usaha membentuk budaya pematuhan undang-undang dalam kalangan pelajar.

Menurut beliau, anggota trafik akan ditempatkan dengan lebih kerap di kawasan sekolah untuk membantu melancarkan aliran kenderaan selain menjalankan pemeriksaan berkala terhadap motosikal yang digunakan pelajar.

Katanya, pemeriksaan tersebut turut melibatkan semakan lesen memandu bagi memastikan pelajar yang menunggang motosikal memiliki lesen sah serta mematuhi peraturan jalan raya.

“Kita menjadikan sekolah sebagai fokus utama supaya pelajar memahami perkara yang betul dan salah. Apabila mereka dibiasakan dengan pematuhan peraturan lalu lintas, mereka akan lebih mudah menghormati undang-undang yang lebih besar dalam kehidupan seharian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Advokasi Kesedaran Lalu Lintas Bersama Polis Kuala Lumpur 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alam Damai, Cheras, hari ini.

Dalam pada itu, Fadil memaklumkan sebanyak 41 individu ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sepanjang tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Menurutnya, jumlah tersebut menunjukkan penurunan berbanding 58 tangkapan yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu, namun usaha mendidik pengguna jalan raya dan memperkukuh penguatkuasaan akan terus dilaksanakan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Aziz Hashim berkata, kerjasama erat antara pihak sekolah dan polis mampu melahirkan generasi pelajar yang lebih berdisiplin serta bertanggungjawab terhadap keselamatan jalan raya.

Beliau turut menggesa pelajar memainkan peranan sebagai duta keselamatan jalan raya dengan menunjukkan teladan yang baik serta menjauhi kegiatan berbahaya seperti lumba haram.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button