Gempa bumi di selatan Jepun ragut tiga nyawa, lebih 50 cedera
TOKYO – Sekurang-kurangnya tiga orang disahkan maut manakala lebih 50 lagi cedera selepas gempa bumi berukuran 7.1 magnitud menggegarkan Pulau Kyushu, selatan Jepun, petang semalam yang mengakibatkan kerosakan besar pada bangunan, jalan raya dan infrastruktur awam.
Pihak berkuasa Jepun memaklumkan, antara kejadian paling serius ialah runtuhan sebahagian tingkat dua sebuah pusat membeli-belah terkenal di Bandar Kashima, Wilayah Kumamoto yang turut disusuli letupan dipercayai berpunca daripada kebocoran gas, kira-kira 30 minit kemudian.
Operasi mencari dan menyelamat kini giat dijalankan bagi mengesan mangsa yang dipercayai masih terperangkap di bawah timbunan runtuhan.
Dalam kejadian berasingan, sebuah cerobong di sebuah kilang kertas di Yatsushiro turut runtuh akibat gegaran kuat, menyebabkan beberapa pekerja terbunuh dan cedera.
Susulan gempa itu, Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mengeluarkan amaran tsunami sebelum menarik balik amaran berkenaan selepas mengesahkan keadaan kembali selamat.
Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan supaya terus berwaspada berikutan kemungkinan berlakunya gegaran susulan serta tanah runtuh dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Lebih 260,000 penduduk turut diarahkan berpindah ke pusat perlindungan sementara sebagai langkah berjaga-jaga.
Gempa berkenaan turut menyebabkan bekalan elektrik terputus di puluhan ribu kediaman selain menjejaskan operasi perkhidmatan kereta api laju Shinkansen, penerbangan domestik dan beberapa sektor perindustrian.
Sementara itu, kerajaan Jepun menggerakkan pasukan penyelamat, anggota tentera serta agensi kecemasan bagi mempercepat operasi mencari mangsa dan menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas.
Pemeriksaan awal yang dijalankan pihak berkuasa turut mengesahkan tiada sebarang keabnormalan dikesan di loji tenaga nuklear berhampiran kawasan bencana.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















