Ahli perniagaan judi Israel maut ditembak di Prague
PRAGUE – Seorang ahli perniagaan perjudian terkemuka Israel yang dikenali sebagai “Raja Mesin Slot”, Tony Barghig, 54, maut selepas ditembak dalam satu serangan di Prague, Republik Czech, awal pagi semalam.
Barghig adalah pemilik dan pengendali beberapa kasino di ibu kota negara itu yang juga merupakan antara figura berpengaruh dalam industri perjudian, hasil penglibatannya yang berpanjangan dalam sektor berkenaan di Eropah dan Israel.
Menurut laporan media Israel, mangsa ditembak ketika berada di Prague, bandar yang menjadi pusat operasi perniagaannya sejak beberapa tahun lalu.
Pihak berkuasa Czech bagaimanapun masih belum mendedahkan butiran terperinci mengenai kejadian itu, termasuk lokasi sebenar serangan dan jumlah suspek yang terlibat.
Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan dan motif pembunuhan masih dalam siasatan, lapor Roya News.
Pembunuhan Barghig menarik perhatian ramai berikutan statusnya sebagai tokoh terkenal dalam industri perjudian yang sering dikaitkan dengan persaingan sengit dan rangkaian perniagaan berprofil tinggi.
Media tempatan melaporkan polis tidak menolak sebarang kemungkinan, termasuk unsur jenayah terancang atau pertikaian berkaitan perniagaan.
Barghig juga mempunyai sejarah panjang dalam dunia perjudian di Israel. Laporan terdahulu menyebut beliau mempunyai kaitan keluarga dengan individu yang pernah disabitkan kesalahan mengendalikan kasino haram.
Kematian ahli perniagaan itu kini menjadi tumpuan pihak berkuasa Czech yang sedang giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti dalang dan motif di sebalik serangan berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















