Motosikal terbabas, jururawat Singapura maut jatuh jejambat 10 meter
JOHOR BAHRU – Seorang jururawat lelaki warga Singapura maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum terjatuh dari jejambat setinggi kira-kira 10 meter di Jalan Tambak Johor, di sini, awal pagi Rabu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.20 pagi itu, mangsa berusia 25 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala serta beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha NMAX dari arah Bukit Chagar menuju ke Bangunan Sultan Iskandar.
Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa dipercayai tersilap memasuki laluan kereta sebelum cuba berpatah balik dengan melawan arus.
“Setiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kanan jalan, melanggar tembok penghadang dan bergesel di kawasan selekoh tajam.
“Akibat insiden itu, mangsa tercampak dari motosikal dan terjatuh dari jejambat setinggi kira-kira 10 meter ke laluan lori dari arah Singapura ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala selain luka dan calar pada beberapa bahagian badan.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk proses bedah siasat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang awam yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan di Balai Trafik Johor Bahru Selatan atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Dayang Aziemah Awang Sabeli di talian 017-3064779.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















