Albert Tei dakwa ditahan seperti pengganas
KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei, menzahirkan rasa kesal selepas mendakwa dirinya diperlakukan seperti pengganas oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tei mempersoalkan tindakan pegawai SPRM yang didakwa menahan serta melakukan serbuan ke rumahnya dengan pendekatan seolah-olah beliau seorang pengedar dadah atau pengganas.
“Apa kesalahan saya, mereka kata saya langgar notis… saya bukan jual dadah, saya bukan pergi rompak bank, saya bukan pengganas,” katanya yang turut mempertikai prosedur operasi standard agensi berkenaan.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas empat pertuduhan berkaitan pemberian rasuah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin.
Baca juga : Albert Tei mengaku tidak bersalah beri rasuah RM176,829.03 kepada Shamsul Iskandar
Beliau mendakwa beberapa pegawai turut mengacukan pistol sebelum menahannya dalam keadaan meniarap serta mengikat kedua-dua tangannya menggunakan kabel ‘tie’.
“Isteri dan anak-anak saya yang tak tahu apa-apa dipaksa duduk di ruang tamu. Mereka panik. Apa kesalahan saya sampai diperlakukan sedemikian? Saya diperlakukan begitu di hadapan keluarga, seolah-olah saya penjenayah berbahaya,” katanya.
Menurut beliau, dekoder rakaman kamera rumahnya turut diambil ketika serbuan dilakukan.
Sebelum ini, media melaporkan pegawai SPRM yang menjalankan operasi di kediaman Tei dilengkapi kamera badan dan peralatan rakaman.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki turut menegaskan bahawa pegawai terlibat dilengkapi peranti rakaman dan menafikan berlaku salah laku seperti didakwa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














