Bekas pegawai Rafizi Ramli tampil beri keterangan kepada SPRM selepas dua bulan dicari
PUTRAJAYA – Selepas hampir dua bulan gagal dikesan, penganalisis politik, James Chai akhirnya tampil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan projek semikonduktor bernilai RM1.11 bilion.
Bekas Pembantu Tugas-tugas Khas (Dasar) kepada Datuk Seri Rafizi Ramli itu tiba di ibu pejabat SPRM kira-kira jam 9.59 pagi dengan menaiki sebuah kenderaan sebelum dilihat memasuki bangunan berkenaan bersama beberapa individu yang dipercayai peguam atau ahli keluarganya.
Sebelum ini, Chai yang menetap di London dilaporkan gagal hadir untuk dirakam percakapan sejak awal Mac lalu walaupun telah dipanggil beberapa kali oleh SPRM.
Pihak suruhanjaya itu turut menerima surat daripada peguamnya yang memaklumkan beliau berdepan kekangan kos penerbangan serta komitmen kerja di luar negara.
SPRM kemudian memberikan lanjutan tempoh selain menawarkan untuk menanggung kos penerbangan bagi memastikan kehadirannya membantu siasatan, namun beliau masih tidak hadir pada tarikh ditetapkan sebelum ini.
Susulan itu, SPRM tidak menolak kemungkinan mendapatkan kerjasama antarabangsa termasuk melalui INTERPOL bagi mengesan individu terbabit sekiranya beliau terus gagal tampil.
Dalam perkembangan berkaitan, setakat ini seramai 17 saksi telah dirakam percakapan melibatkan pegawai Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Sementara itu, firma guaman yang mewakili Chai memaklumkan urusan kepulangannya ke Malaysia telah disusun selepas mendapat kelulusan majikan di London selain pihak mereka turut berkomunikasi dengan SPRM bagi memudahkan proses siasatan.
Kes berkenaan dipercayai berkait dengan projek pelaburan semikonduktor berskala besar yang mendapat sokongan kerajaan, namun setakat ini tiada sebarang pertuduhan dibuat dan siasatan masih diteruskan oleh pihak berkuasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















