BERITA SEMASAPOLITIK

BN bertanding solo guna lambang dacing, rundingan politik tetap dibuka – Zahid Hamidi

SEMENYIH – Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara solo menggunakan lambang dacing pada pilihan raya akan datang namun pendekatan itu tidak menutup ruang untuk kerjasama dan rundingan politik bagi mengelakkan pertindihan kerusi.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bahawa istilah ‘bertanding solo’ merujuk kepada penggunaan lambang BN sepenuhnya dan bukannya membawa maksud menolak sebarang bentuk perundingan dengan parti lain.

“Bukan UMNO tetapi Barisan Nasional yang akan bertanding secara solo menggunakan lambang dacing.

“Saya sebutkan tidak semestinya kita tidak boleh bekerjasama dalam bentuk perundingan supaya tidak berlaku pertindihan kerusi atau jentera saling membantu,” katanya.

Menurut beliau, BN tidak akan menggunakan lambang mana-mana parti lain atau gabungan lain walaupun terdapat kerjasama dari sudut strategi pilihan raya.

“Itu maksud saya dari segi bertanding solo, kita tidak akan gunakan lambang lain-lain parti atau lambang lain-lain gabungan,” katanya lagi.

Mengulas soal sokongan terhadap BN, Ahmad Zahid berkata pendekatan politik yang bijaksana dan sederhana perlu diutamakan dalam landskap politik semasa yang semakin dinamik.

“Kita akan bekerjasama dengan calon secara bijaksana. Kebijaksanaan untuk tidak bermusuh dengan ramai pihak adalah lebih baik daripada bersikap angkuh dalam apa jua keadaan tanpa mempedulikan iklim politik yang semakin berubah,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Agung Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF Malaysia) ke-33 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa UMNO dan BN akan bertanding secara solo pada pilihan raya akan datang dengan keputusan itu dibuat bagi memperkukuhkan identiti dan kekuatan BN sendiri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button