BERITA SEMASAPMX

Kerjasama pertahanan Malaysia-Turkiye dipertingkat, bakal meterai MoU tidak lama lagi

PUTRAJAYA – Malaysia dan Turkiye dijangka memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan dalam masa terdekat bagi memperkukuh hubungan strategik, termasuk memperkemas aspek perolehan perkakas serta kelengkapan pertahanan antara kedua-dua negara.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini selepas menerima kunjungan hormat Menteri Luar Turkiye, Dr Hakan Fidan.

Anwar berkata, beliau menghargai penyertaan aktif Turkiye dalam industri pertahanan negara, termasuk penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025.

“Kita menjangkakan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan serta memperkemas aspek perolehan perkakas dan kelengkapan pertahanan antara kedua-dua kerajaan,” katanya di Facebook hari ini.

Selain itu, hubungan Malaysia dan Turkiye turut diperkukuh menerusi komitmen bersama dalam memperluas kerjasama strategik merangkumi ekonomi digital, semikonduktor dan aeroangkasa.

Perdana Menteri berkata, kedua-dua negara juga membincangkan pelaksanaan High-Level Strategic Cooperation Council (HLSC) dan Joint Committee Meeting (JCM) peringkat menteri luar.

Jelas Anwar yang juga Menteri Kewangan, langkah tersebut adalah sebagai platform utama menangani isu-isu yang masih tertangguh serta memperkukuh jalinan kerjasama sedia ada.

“Turkiye kini merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Asia Barat dan kita ingin terus menggalakkan pelaburan dalam sektor strategik seperti semikonduktor, farmaseutikal, ekonomi digital dan hijau, kecerdasan buatan (AI), serta aeroangkasa,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan hubungan Malaysia dan Turkiye bukan sekadar berteraskan diplomasi semata-mata, tetapi turut merangkumi kepentingan strategik dan nilai bersama yang harus terus diperkukuh demi kestabilan rantau serta kesejahteraan sejagat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button