BERITA SEMASA

LiKES diperkasa, TalentCorp terajui agenda KESUMA bangunkan ekosistem bakat negara

PETALING JAYA – Penambahbaikan Geran Padanan Latihan Industri Kecil dan Sederhana (LiKES) menjadi antara langkah utama kerajaan dalam memperkukuh ekosistem bakat negara, sekali gus membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyediakan latihan lebih tersusun kepada tenaga kerja muda.

menteri sumber manusia
Lawatan rasmi Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ramanan ke Talent Corp hari ini

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, melalui inisiatif yang diterajui Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), proses kelulusan LiKES kini dipercepatkan kepada 14 hari bekerja, selain pemberian pendahuluan RM2,000 bagi setiap pelatih bagi meringankan beban majikan.

Menurut beliau, langkah itu penting memandangkan hampir separuh tenaga kerja negara berada dalam sektor PMKS, namun masih berdepan kekangan dari segi akses kepada latihan berkualiti dan laluan kerjaya yang jelas.

“Pendekatan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bermula dengan rakyat. Apabila rakyat dipermudah memasuki alam pekerjaan, diberi kemahiran yang relevan dan disokong untuk kekal produktif, perniagaan akan berkembang dan ekonomi negara menjadi lebih berdaya tahan,” katanya ketika lawatan rasmi pertamanya ke TalentCorp di Menara Surian, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebagai badan pemikir strategik KESUMA, TalentCorp memainkan peranan penting membangunkan ekosistem bakat yang merangkumi pelajar, graduan, profesional, wanita, veteran, diaspora serta bakat berkemahiran tinggi, dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab bakat global yang dinamik dan berdaya saing.

Selain LiKES, kerajaan turut memperkukuh latihan berasaskan industri menerusi MyMahir Future Skills Talent Council (FSTC), yang memberi kuasa kepada industri menentukan sendiri keperluan kemahiran tenaga kerja.

“Rangka kerja ini diiktiraf Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan terbukti mengurangkan ketidakpadanan kemahiran serta meningkatkan gaji permulaan peserta,” katanya lagi.

Seiring pengumuman Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, PMKS juga layak menikmati potongan cukai tambahan 50 peratus bagi perbelanjaan latihan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber melalui inisiatif MyMahir–National AI Council for Industry (MyMahir-NAICI).

Dalam usaha mengekalkan tenaga kerja berpengalaman, KESUMA melalui TalentCorp memberi tumpuan kepada program Wanita MyWira bagi menyokong penyertaan wanita dalam pasaran kerja, selain memperluas pelaksanaan pengaturan kerja fleksibel.

Kajian impak pengaturan ini di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang dijangka diumumkan tidak lama lagi.

Malaysia turut memperkukuh daya tarikan bakat global melalui penambahbaikan platform Xpats Gateway, yang menyumbang kepada peningkatan kedudukan negara dalam IMD World Competitiveness Ranking 2025, apabila melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23.

Pada masa sama, kerajaan membuka laluan kepada chef dan pengurus antarabangsa berkemahiran tinggi untuk bekerja di restoran dan premis gastronomi premium, bagi menyokong pemindahan kemahiran serta memperkukuh sektor pelancongan bernilai tinggi.

Bagi majikan yang berdepan kekangan tenaga kerja, pengambilan veteran Angkatan Tentera Malaysia melalui program Veteran MyWira turut digalakkan memandangkan disiplin dan daya tahan tinggi yang dimiliki golongan tersebut.

“Keseluruhannya, ini merupakan satu ekosistem bakat bersepadu yang menyokong rakyat Malaysia daripada memasuki alam pekerjaan, membina kemahiran, hinggalah kekal bekerja.

“Kerajaan bersedia menyokong majikan yang melabur dalam bakat tempatan dengan dasar yang jelas dan pelaksanaan yang praktikal,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, pengukuhan LiKES bersama inisiatif lain di bawah KESUMA melengkapkan usaha negara untuk muncul sebagai hab bakat global yang dinamik, sekali gus memastikan modal insan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat menjelang 2026.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button