Tiada usul undi tidak percaya diterima di Dewan Rakyat – Johari
BANGI – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang usul undi tidak percaya untuk dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.
“Bukan belum lagi (terima usul undi tidak percaya), tidak dengar langsung,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Dialog Negara Bangsa: Membina Jati Diri dan Identiti Nasional, di sini hari ini.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar mana-mana pihak yang mahu mengeluarkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) daripada Kerajaan Perpaduan supaya berbuat demikian secara rasmi dengan mengemukakan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Johari berkata, beliau juga belum menerima sebarang usul berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta RUU mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri.
“Saya dimaklumkan ura-ura itu ada tapi saya belum terima lagi kertasnya.
“Lazimnya, dua minggu sebelum pembentangan (sebarang usul) itu akan dimaklumkan kepada Speaker tetapi sekarang ini belum terima apa-apa lagi,” katanya memetik laporan Bernama.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, RUU berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri sudah siap untuk dibawa ke Parlimen pada sesi akan datang.
Mengikut Takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Kelima Parlimen ke-15 akan berlangsung selama 37 hari, bermula 5 Oktober hingga 8 Disember.
Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan pada 9 Oktober, manakala perbahasan peringkat dasar berlangsung dari 12 hingga 22 Oktober sebelum sesi jawapan menteri pada 26 hingga 29 Oktober. Perbahasan peringkat jawatankuasa pula dijadualkan dari 2 hingga 26 November.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








