BERITA SEMASA

Kerajaan teliti penambahbaikan SARA

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti penambahbaikan kepada inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) termasuk memperluaskan kategori barangan yang dibenarkan kepada produk makanan sejuk beku.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, perkara itu akan dibincangkan bersama pasukan pelaksana SARA bagi menilai kesesuaian cadangan berkenaan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Bagi pendekatan peniaga kecil, kita juga menekankan penggunaan barangan tempatan dan insya Allah ia akan terus ditambah baik.

“Pada masa hadapan, kita akan mengumumkan peluasan kepada barangan sejuk beku yang akan dibenarkan di bawah SARA,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Peluasan rangkaian peruncit SARA yang dilaksanakan sebelum ini mencatatkan prestasi positif apabila jumlah kedai yang diiktiraf meningkat daripada 700 kedai pada 2024 kepada kira-kira 10,000 kedai tahun lepas, termasuk 3,000 kedai runcit kecil.

Beliau berkata pada awal tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan sasaran kerajaan untuk meningkatkan jumlah kedai runcit kecil daripada 3,000 kepada 10,000 buah menjelang hujung tahun ini.

“Pelaksanaan ini sekali gus akan membolehkan lebih ramai peniaga kecil dan peruncit menyertai skim SARA,” katanya.

Amir Hamzah berkata tahap penggunaan SARA juga menunjukkan prestasi sangat baik, dengan 99 peratus penerima tidak berdepan masalah untuk menggunakan bantuan termasuk dari segi kecukupan bilangan kedai yang mengambil bahagian dalam skim berkenaan.

Mengenai kaedah penyasaran subsidi pula, beliau berkata perkara itu dilaksanakan secara berhati-hati dan tersusun bagi memastikan manfaat benar-benar sampai kepada golongan yang berhak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button