Jangan bersikap malu sebagai penjawat awam – KSN
KUALA LUMPUR – Kakitangan kerajaan digesa supaya membuang sikap rendah diri bergelar penjawat awam dalam memastikan usaha ke arah reformasi perkhidmatan awam dan dasar-dasar yang ditetapkan kerajaan terlaksana.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, impian itu tidak akan terlaksana dengan baik tanpa seseorang itu merasa bangga menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai seorang penjawat awam.
“Tidak dinafikan ada lagi yang mempunyai rasa malu atau ‘inferiority complex’ bergelar penjawat awam.
“Contoh paling mudah adalah ketika memakai baju yang mempamerkan logo agensi atau jabatan kerajaan.
“Malah ada yang lebih berbangga sekiranya logo yang tertera pada pakaian mereka itu adalah jenama-jenama antarabangsa,” katanya pada majlis Santai Ketua Setiausaha Negara (KSN) Bersama Media di Sheraton Imperial di sini hari ini.

Justeru, beliau menyeru semua kakitangan kerajaan menghayati nilai M.A.L.A.Y.S.I.A yang merangkumi prinsip Mesra, Adil, Luhur, Amanah, Yakin, Setia, Islah dan Arif yang wajar dijadikan pegangan setiap penjawat awam.
Beliau berkata, nilai-nilai yang diperkenalkan pada 10 September lalu itu menjadi asas kepada usaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.
Katanya, sebagai penjawat awam, nilai Mesra adalah salah satu nilai terpenting yang menerapkan sikap sopan santun dan empati semasa bertugas.
Prinsip Adil pula katanya mendorong setiap penjawat awam menjalankan tanggungjawab secara adil tanpa kompromi terhadap perkara yang tidak sepatutnya.
“Misalnya, dalam memberi layanan, kita tidak boleh bersikap pilih kasih sebaliknya perlu memberi layanan saksama tanpa mengira pangkat, kedudukan atua kepentingan peribadi.
“Kemudian kita ada Luhur yang membawa maksud memuliakan perkhidmatan dengan komitmen pekerjaan dan menjaga etika.
“Amanah pula kejujuran dan keikhlasan dalam tugas yang menjadi teras kepada kualiti kerja. Ia juga berkait dengna integriti dalam setiap tindakan,” katanya.
Selain itu, Shamsul Azri juga mengingatkan penjawat awam supaya sentiasa bersikap ‘Yakin’ dengan kebolehan diri ketika berinteraksi dengan masyarakat yang mencerminkan sikap profesional dalam tugas.
Manakala Setia pula katanya membawa maksud taat dan setia kepada negara berdasarkan prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan.
“Seterusnya pula adalah Islah, yang menekankan pentingnya pembaharuan dan penambahbaikan dari semasa ke semasa.
Prinsip M.A.L.A.Y.S.I.A yang terakhir katanya adalah Arif yang menuntut penjawat awam berilmu dan berkemahiran dalam menjalankan tugas.
Beliau berkata, nilai-nilai tersebut perlu menjadi pegangan setiap penjawat awam setiap masa bagi menjayakan usaha reformasi perkhidmatan awam.
Pada majlis itu, Shamsul mengiktiraf peranan media dalam menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat secara efektif.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








