7 kapal tangki Malaysia tunggu isyarat lalui Selat Hormuz
SEREMBAN – Tujuh kapal tangki milik syarikat Malaysia kini menunggu isyarat untuk melalui Selat Hormuz melalui koridor selamat susulan situasi keselamatan yang tegang di rantau Asia Barat.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kapal berkenaan termasuk milik Petronas dan Sapura Energy tidak ditahan, sebaliknya menunggu masa sesuai untuk bergerak bagi memastikan pelayaran selamat.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata semalam, kerajaan Iran telah memberi maklum balas positif terhadap permohonan Malaysia untuk membenarkan kapal-kapal berkenaan meneruskan perjalanan, lapor BERNAMA.
“Saya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghubungi rakan sejawat dan mereka memaklumkan tiada isu untuk kapal kita meneruskan perjalanan namun kapal tangki perlu tunggu giliran.
“Jadi kita nak betul-betul pastikan semuanya selamat sampai kerana Selat Hormuz amat tegang, dengan banyak kapal nak keluar. Jika komunikasi kalau tak dibuat dengan baik, akan menyebabkan insiden tidak diingini berlaku,” katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Rantau, semalam.
Jelas beliau, kesemua kapal berkenaan tidak ditahan, sebaliknya menunggu arahan pergerakan berikutan kekangan komunikasi dalam situasi konflik.
“Kadangkala arahan daripada Tehran tidak sampai ke Selat Hormuz kerana komunikasi dalam keadaan perang adalah mencabar,” katanya lagi.
Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau seterusnya berkata, komunikasi dengan rakyat Malaysia di Iran ketika ini terhad susulan gangguan sistem komunikasi namun keadaan mereka terus dipantau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








