BERITA SEMASA

Kegagalan patuhi tatacara punca ketirisan perolehan kerajaan – KSN

PUTRAJAYA – Kelemahan dalam proses perolehan kerajaan dikenal pasti berpunca daripada kegagalan mematuhi tatacara yang ditetapkan, walaupun Kementerian Kewangan (MoF) telah menyediakan pelbagai bentuk fleksibiliti bagi melancarkan urusan perolehan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, ketidakaturan yang berlaku bukan disebabkan kelemahan sistem semata-mata, sebaliknya berpunca daripada kegagalan ahli Lembaga Perolehan, jawatankuasa serta pegawai memahami sepenuhnya tatacara dan roh perolehan.

“MoF dah buat banyak fleksibiliti dalam (proses) perolehan, tetapi walaupun begitu kena pastikan setiap tatacara perolehan itu perlu dipatuhi.

“Dia tak boleh nak diatur, dimanipulasi, sesuka hati. Maknanya yang penting sekali semua ahli Lembaga Perolehan kena faham tatacara perolehan.

“Bila berlaku ketidakaturan ini kerana ahli lembaga dan jawatankuasa serta pegawai tidak faham the spirit perolehan itu,” katanya memetik laporan BH Online.

Beliau berkata demikian kepada media selepas program KSN Media Strike Challenge 2026 bersama pengamal media, di sini hari ini.

Hadir sama pada program itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Nasaruddin Abdul Muttalib; Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan) JPM, Datuk Ikmalrudin Ishak; Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM, Datuk Abd Shukor Mahmood dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.

Isu perolehan kerajaan menjadi perhatian selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu mengumumkan pembekuan sementara semua keputusan perolehan membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan yang terpalit dengan isu rasuah.

Menurut Perdana Menteri, langkah pembekuan itu akan kekal sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya, selain kerajaan akan meneliti dan menyusun semula semua perolehan bagi memastikan ketelusan sistem sedia ada.

Susulan arahan itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, kementeriannya sedang mendapatkan maklumat dan penjelasan lanjut selain meneliti langkah penambahbaikan proses perolehan bagi memperkukuh tadbir urus serta mengelakkan ketirisan pada masa hadapan.

Mengulas lanjut, Shamsul Azri berkata kelemahan perolehan lazimnya berpunca daripada kekurangan kefahaman terhadap tatacara yang ditetapkan serta kelemahan dalaman pegawai sendiri dalam menghayati prinsip dan tujuan peraturan itu diwujudkan.

“Kelemahan berlaku kerana kurang faham tentang tatacara perolehan dan kita punya kelemahan diri,” katanya.

Ditanya sama ada isu itu berpunca daripada kelemahan pemantauan atau prosedur operasi standard (SOP), beliau berkata keadaan tersebut merupakan gabungan pelbagai faktor.

Justeru, MoF akan memperketatkan garis panduan perolehan kepada semua kementerian dan badan berkanun bagi mengelakkan sebarang ketirisan pada masa depan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button