Perolehan aset strategik diteruskan dengan syarat tadbir urus baharu – Khaled Nordin
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan meneruskan perolehan aset strategik pertahanan negara dengan berpandukan kerangka tadbir urus baharu yang lebih ketat, selepas pelaksanaan pembekuan sementara sebelum ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah pembekuan itu dibuat selaras arahan Perdana Menteri bagi memastikan setiap proses perolehan dilaksanakan secara lebih telus dan mematuhi peraturan yang berkuat kuasa.
“Selaras dengan arahan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, MINDEF telah mengeluarkan Arahan Pegawai Pengawal Bilangan 2 Tahun 2026 untuk membekukan dan menangguhkan pelaksanaan perolehan aset pertahanan.
“Langkah ini bertujuan memastikan proses perolehan dilaksanakan dengan lebih telus serta mematuhi segala peraturan yang ditetapkan,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Edward Linggu Buku di Dewan Negara, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan pada 12 Februari lalu bersetuju supaya semua urusan perolehan aset strategik diteruskan, namun tertakluk kepada kerangka tadbir urus baharu yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).
“Kerangka baharu ini melibatkan penambahbaikan keanggotaan Lembaga Perolehan dan jawatankuasa berkaitan dengan menetapkan syarat kompetensi supaya hanya pegawai yang benar-benar mahir terlibat dalam proses membuat keputusan,” jelasnya.
Tambah beliau, antara pembaharuan diperkenalkan ialah penglibatan rentas kementerian dan rentas perkhidmatan bagi memperkukuh elemen semak dan imbang.
“Sebagai contoh, Jawatankuasa Sebut Harga Tentera Darat akan turut dianggotai wakil Tentera Laut atau Tentera Udara, manakala Lembaga Perolehan MINDEF akan melibatkan wakil daripada Kementerian Dalam Negeri,” katanya.
Beliau berkata, proses penilaian teknikal dan kewangan bagi tender terbuka serta sebut harga juga diperketatkan dengan komposisi baharu bagi Jawatankuasa Spesifikasi, Jawatankuasa Penilaian Teknikal dan Jawatankuasa Penilaian Kewangan yang tidak lagi terhad kepada agensi pengguna sahaja.
Dalam masa sama, MOF menetapkan bahawa perolehan secara sebut harga bernilai RM300,000 hingga RM500,000 bagi bekalan dan perkhidmatan serta RM300,000 hingga RM3 juta bagi kerja hendaklah dimuktamadkan di peringkat Lembaga Perolehan yang dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian.
Bagi perolehan melibatkan produk keluaran pengilang luar negara pula, kaedah tender terbuka antarabangsa wajib dilaksanakan dengan penyertaan dikhususkan kepada pengilang terbabit.
Mengulas lanjut, Khaled berkata kerajaan turut memutuskan supaya proses penilaian dan pengiklanan semula dibuat bagi perolehan aset strategik yang telah ditender secara terbuka.
“Aset strategik merujuk kepada perolehan bernilai tinggi yang mempunyai kepentingan kritikal serta impak langsung terhadap kesiapsiagaan dan keberkesanan operasi Angkatan Tentera Malaysia dalam sistem pertahanan negara,” katanya.
Bagaimanapun, perolehan tidak melibatkan aset strategik seperti perkhidmatan pembersihan, kawalan keselamatan tanpa senjata api, perbekalan barangan pejabat dan perkhidmatan umum lain boleh diteruskan tanpa perlu penilaian atau pengiklanan semula.
Beliau menegaskan, langkah penambahbaikan itu diyakini mampu memperkukuh integriti dan ketelusan tadbir urus perolehan pertahanan serta memastikan kepentingan keselamatan negara terus terpelihara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








