BISNES & EKONOMIPMX

Anwar mahu pertumbuhan ekonomi dinikmati semua lapisan masyarakat

KUALA LUMPUR – Pertumbuhan ekonomi negara mesti dinikmati semua lapisan masyarakat dan tidak hanya diukur berdasarkan peningkatan eksport serta pencapaian angka ekonomi sebaliknya turut mengambil kira nasib golongan miskin dan kawasan yang masih terpinggir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian ekonomi yang memberangsangkan sekiranya jurang ketidaksamaan terus melebar manakala sebahagian masyarakat masih belum menikmati manfaat pembangunan.

Menurutnya, usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi perlu dilaksanakan secara seimbang supaya kemajuan negara turut dirasai masyarakat di kawasan seperti di Kelantan dan Sarawak.

“Pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan peningkatan eksport dengan angka yang menakjubkan tidak mencukupi sekiranya jurang ketidaksamaan semakin melebar dan golongan miskin terus terpinggir,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) di sini malam ini.

Anwar menambah, Malaysia perlu mempunyai pendekatan pembangunan yang mengambil kira keperluan semua lapisan masyarakat dan wilayah selaras dengan usaha negara mencapai status negara maju.

Pada masa sama, beliau menegaskan kepentingan memperkukuh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai antara asas penting ekonomi negara.

Katanya, PKS perlu diberikan perhatian bagi meningkatkan keupayaan, daya tahan, inovasi dan daya cipta supaya mampu berkembang sebagai pemain industri yang lebih berdaya saing.

“Kejayaan puluhan ribu PKS meningkatkan keupayaan dan menembusi pasaran antarabangsa akan menjadi antara faktor penting yang menentukan kejayaan ekonomi Malaysia,” katanya.

Anwar turut mengingatkan bahawa industri negara perlu terus dimodenkan dan tidak boleh bergantung kepada pendekatan lama untuk meningkatkan martabat ekonomi.

Dalam menghadapi perubahan ekonomi global, beliau berkata, Malaysia juga perlu memberikan perhatian kepada bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI), peralihan tenaga dan pendigitalan bagi mengelakkan negara ketinggalan.

Beliau berkata, usaha mencapai kemajuan perlu berjalan seiring dengan pemeliharaan identiti negara, termasuk bahasa, budaya, adat dan nilai kemanusiaan serta penghormatan terhadap kepelbagaian kaum dan agama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button