Pembangunan semula tanah rizab Melayu di KL hadapi cabaran kompleks
KUALA LUMPUR – Pembangunan semula tanah rizab Melayu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berdepan cabaran kompleks terutamanya yang melibatkan tanah pusaka yang diwarisi turun-temurun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, antara cabaran dihadapi termasuk isu pemilikan bersama yang dimiliki oleh puluhan hingga ratusan individu berdaftar.
“Dalam sesetengah kes, satu lot tanah berkeluasan hanya 8,700 kaki persegi direkodkan mempunyai sehingga 256 pemilik berdaftar.
“Situasi ini menjadikan proses mendapatkan persetujuan pembangunan amat sukar dilaksanakan,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Jelas Zaliha, sekiranya hanya seorang pemilik tidak bersetuju dengan cadangan pembangunan, ia sudah cukup untuk menggagalkan keseluruhan urus niaga atau projek yang dicadangkan.
“Hal ini menyebabkan banyak rancangan pembangunan tanah rizab Melayu tertangguh dan tidak dapat diteruskan,” katanya lagi.
Zaliha berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) yang meminta kementerian menyatakan mengapa pembangunan tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur seperti Kampong Bharu menghadapi cabaran yang ketara.
Selain itu, Azman turut mempersoalkan sejauh mana faktor-faktor seperti pemilikan tanah yang bertindih dan nilai pasaran yang terhad menyumbang kepada isu ini.
Mengenai nilai pasaran masa hadapan, Zaliha berkata tanah rizab Melayu dianggap terhad kerana wujudnya sekatan kepentingan yang melarang pindah milik kepada bukan Melayu.
Jelasnya, sekatan itu secara langsung membataskan minat pelabur dan permintaan pasaran terhadap unit hartanah yang dibangunkan.
Beliau turut menjelaskan bahawa walaupun kebanyakan tanah rizab Melayu terletak di lokasi strategik, seperti di kawasan Sungai Penchala, kos pembangunannya sangat tinggi.
Sehubungan itu, katanya, pendekatan untuk memajukan semula kawasan tersebut mestilah menyeluruh serta sensitif terhadap aspek budaya, ekonomi dan undang-undang.
Selain itu, beliau berkata pelaksanaannya perlu dilakukan dengan melibatkan semua pihak berkepentingan secara telus dan berterusan dalam memastikan keseimbangan antara kemajuan fizikal dan pemeliharaan warisan bangsa dapat dicapai demi kepentingan masyarakat Melayu keseluruhannya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








