Aset MALBATT: MINDEF gariskan dua opsyen selepas tamat misi 2026
KUALA LUMPUR – Terdapat dua opsyen disediakan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) berhubung pengurusan aset selepas penugasan Kontinjen Malaysia di Lubnan (MALBATT) yang dijadualkan berakhir hujung tahun depan.
Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, sebahagian aset akan dibawa pulang untuk kegunaan Tentera Darat, manakala selebihnya ditinggalkan berdasarkan keperluan operasi.
“Pembelian 10 kenderaan baharu diluluskan dalam Belanjawan 2026. Sebahagian aset akan ditinggalkan mengikut keperluan semasa dan itulah sebabnya rancangan pembelian 10 kenderaan itu diluluskan.
“Opsyen pertama ialah membawa kembali anggota dan aset ke dalam negara untuk kegunaan Tentera Darat, manakala opsyen kedua ialah menggunakan peruntukan sedia ada bagi mendapatkan aset baharu.
“Aset yang dibawa semasa operasi di Lubnan sebahagiannya adalah dari dalam negara dan kita boleh menggantikan atau memperoleh aset baharu mengikut keperluan Tentera Darat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 bagi MINDEF di Dewan Rakyat, hari ini.
Adly menjawab pertanyaan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz. (PN-Tanah Merah) dan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang mengenai perolehan aset dan penugasan MALBATT yang tamat tahun depan.
Mengulas lanjut, Adly berkata, langkah itu bertujuan memastikan aset Tentera Darat digunakan secara optimum dan selari dengan perancangan jangka panjang MINDEF bagi mengekalkan keupayaan pertahanan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








