
PRN Sabah: BN akan tetap bentuk gabungan dengan parti lain
KOTA KINABALU – Barisan Nasional (BN) akan membentuk gabungan dengan parti politik lain dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Ketua BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, keputusan itu diambil berdasarkan situasi semasa dan akan dimumkan apabila tiba masanya, lapor portal FMT, hari ini.
“UMNO-BN akan bertanding mengikut kemampuan dan keyakinan. Jadi, sampai masa kita akan putuskan dengan siapa kita bergabung… sebab apabila bergerak solo kemampuan itu terhad.
“Parti yang bergerak solo tidak akan mencapai kemenangan besar malah keadaan itu bukan sahaja berlaku di Malaysia bahkan seluruh dunia. Parti politik akhirnya akan bergabung selepas pilihan raya bentuk kerajaan,” katanya dalam laporan tersebut.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan BN bertanding solo susulan keputusan Parti Warisan sudah memutuskan untuk bertanding sendirian pada PRN Sabah yang dijangka diadakan tahun ini.
Sementara itu, mengulas kecenderungan bergabung selepas Warisan tidak menunjukkan minat bekerjasama, Bung berkata BN masih terbuka berunding dengan mana-mana pihak selain parti yang pernah mengkhianati mereka.
“Kita membuka pintu juga… bukan terlalu luas, tapi masih ada perundingan dengan mana-mana parti,” katanya sambil memaklumkan BN menyasarkan bertanding di lebih 40 DUN.
Pada PRN Sabah 2020, BN menerusi UMNO menang 14 kerusi daripada 73 kerusi DUN dipertandingkan.
Warisan pula memperoleh (23), DAP (6), PKR (2), Upko (1), PBS (7), Star (6), bebas (3) dan Bersatu (11-sebelum Parti Gagasan Rakyat Sabah ditubuhkan).
Daripada 14 DUN dimenangi BN, lima daripadanya kekal menyokong pentadbiran Hajiji selepas ‘Langkah Kinabalu’ bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








