DUN Sabah terbubar automatik 11 Nov jika tidak dibubarkan lebih awal – Speaker DUN
KOTA KINABALU – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 akan terbubar secara automatik pada 11 November ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.
Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya berkata, tempoh lima tahun DUN itu dikira dari tarikh persidangan pertama DUN Sabah ke-16 iaitu pada 12 November 2020, menjadikan 11 November 2025 sebagai tarikh tamat penggal.
Jelas beliau, terdapat kekeliruan dalam kalangan orang awam mengenai tarikh pembubaran automatik DUN, kerana ada yang beranggapan pengiraan bermula dari hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada 26 September 2020 atau hari pengundian awal pada 22 September.
“Terdapat pihak luar yang salah faham mengenai tarikh pembubaran. Ada yang mengira dari hari pengundian, ada juga yang menganggap ia bermula dari tarikh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah (9 Oktober 2020).
“(Sebenarnya) tempoh lima tahun DUN Sabah tidak dikira dari hari pengundian, pengumuman keputusan pilihan raya, atau tarikh angkat sumpah ADUN.
“Ia dikira dari tarikh persidangan pertama penggal baharu DUN,” katanya sebagaimana dilaporkan BERNAMA, hari ini.
Kadzim kemudian menjelaskan, sekiranya DUN terbubar secara automatik pada 11 November, perkara itu akan dimaklumkan secara rasmi kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Pilihan raya negeri mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran,” tambahnya lagi.
Mengulas mengenai persidangan DUN Sabah yang dijadualkan berlangsung selama dua hari bermula esok, beliau berkata sebanyak empat rang undang-undang akan dibentangkan, melibatkan perbekalan tambahan, cukai jualan negeri, perhutanan, serta perubahan iklim dan tadbir urus karbon.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







