POLITIK

PRN Sabah: GRS berpotensi raih 26 kerusi, berada pada kedudukan kukuh ketuai rundingan pembentukan kerajaan negeri

KOTA KINABALU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berpotensi meraih sekitar 26 kerusi daripada 55 yang ditandingi, menjadikannya parti dengan jumlah kerusi selamat terbesar berbanding pesaing lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menurut Kajian akhir ILHAM Centre, gabungan parti itu juga berada pada kedudukan paling kukuh untuk mengetuai rundingan pembentukan kerajaan negeri.

“Kelebihan utama GRS adalah faktor penyandang, selain imej tenang dan sederhana Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang diterima merentas parti.

“GRS juga dijangka mengekalkan penguasaan di kawasan pantai barat yang menjadi kubu kuat mereka, manakala kempen berteraskan naratif kestabilan menjadi pemangkin perhatian pengundi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

hajiji
HAJIJI NOOR

Dalam pada itu katanya, dapatan kajian menunjukkan PRN kali ini menyaksikan pengundi Sabah lebih memberi tumpuan kepada calon, bukan parti atau isu nasional.

Katanya, calon yang rajin turun padang, mempunyai rekod perkhidmatan konsisten serta prihatin terhadap kebajikan rakyat menjadi pilihan utama.

shafie apdal
SHAFIE APDAL

Bagi pengundi muda pula katanya, pemilihan lebih dipengaruhi ciri muka baharu, personaliti menarik dan keterlihatan di media sosial.

“Namun pola pengundian mereka kekal berterabur, tanpa gelombang besar ke arah mana-mana parti.

“Isu berkait hak Sabah termasuk MA63, autonomi negeri dan tuntutan hasil 40 peratus muncul sebagai tema paling kuat mempengaruhi sokongan.

“Sebanyak 77 peratus responden menyokong naratif “pro Sabah” yang dijadikan fokus hampir semua parti lokal.

“Walaupun isu ekonomi seperti kos sara hidup, air, elektrik, infrastruktur dan pekerjaan turut relevan, ia masih berada di bawah dominasi sentimen Sabah First,” katanya.

Menyentuh mengenai sentimen pengundi Cina, katanya, kajian ILHAM mengesan “swing mood” ketara di kawasan majoriti Cina seperti Likas, Luyang, Inanam, Kapayan dan Api-Api.

Ujarnya, pengundi bandar dilihat semakin menjauhi parti nasional dari Semenanjung, khususnya PH dan DAP, berikutan kekecewaan terhadap prestasi ekonomi serta kempen berskala besar yang dianggap tidak serasi dengan sentimen tempatan.

“Trend ini dijangka memberi kelebihan kepada WARISAN, terutama di kawasan bandar yang menyaksikan penolakan senyap terhadap PH,” katanya.

Analisis Kekuatan Parti

GRS: Menggerakkan jentera secara tersusun dan konsisten; imej Hajiji melonjakkan peluang kemenangan.

WARISAN: Masih kuat di pantai timur dan mempunyai potensi meraih sokongan protes pengundi bandar.

BN: Kempen tidak berimpak besar, tertumpu di kawasan tertentu sahaja.

PH: Berdepan tekanan hebat mempertahankan kerusi sedia ada; mood penolakan pengundi Cina meningkatkan risiko kehilangan kerusi.

PN: Dilihat tidak tersusun dan bergelut mengembalikan kekuatan selepas majoriti bekas wakil rakyat mereka menyertai GRS.

Black Wave & Calon Bebas:
Sebanyak 74 calon bebas bertanding, termasuk 17 yang bernaung di bawah “Black Wave”. Walaupun tidak membentuk gelombang besar, beberapa calon bebas berpotensi menang di kawasan yang mengutamakan pengaruh peribadi calon.

Isu Nasional Kurang Berpengaruh
Fenomena nasional seperti ‘Justice for Zara’ atau skandal rasuah negeri hanya mempunyai kesan kecil terhadap pola undi. Isu lokal dan hak Sabah kekal sebagai pemacu utama.

Parti Lokal vs Parti Nasional
Pengundi luar bandar lebih cenderung kepada parti lokal sepenuhnya, manakala pengundi bandar mengutamakan kerjasama antara parti lokal dan parti nasional dengan alasan kestabilan. Namun secara umum, dua parti paling dominan dari segi sokongan adalah GRS dan WARISAN.

Hajiji vs Shafie: Dua Nama Calon Ketua Menteri
Tinjauan mendapati hanya dua nama besar mendominasi pilihan pengundi untuk Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Datuk Seri Shafie Apdal.

Hajiji:
– Sebanyak 63 peratus responden puas hati dengan prestasi kerajaan pimpinan beliau
– 62 peratus berpuas hati dengan prestasi peribadi beliau
– Dilihat lebih tenang dan berpotensi menyatukan parti-parti selepas PRN

Shafie:
– Kelebihan karisma dan kempen bertenaga
– Masih mempunyai sokongan kuat di wilayah pantai timur

Prediksi Akhir ILHAM Centre:
GRS: 26 kerusi atau lebih
WARISAN: 6 hingga 14 kerusi bergantung kepada ayunan pengundi bandar
BN: 9 kerusi
PH: 4 kerusi selamat
PN: Berpotensi menang hanya di Karambunai dan Sugut
Kerusi sengit: 13 kerusi masih terbuka kepada mana-mana parti dan calon bebas

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button