BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Kerajaan Sabah salur bantuan RM10,000 kepada mangsa banjir

KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah mengumumkan pelbagai bentuk bantuan segera kepada mangsa banjir dan tanah runtuh di negeri ini termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga yang berpindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS).

Selain itu, waris kepada mangsa yang terkorban akibat bencana turut menerima Bantuan Wang Ihsan (Kematian) berjumlah RM10,000.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), bantuan tersebut diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang sah sebagai warganegara dan berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA).

Bagi memastikan kebajikan mangsa terjamin, kerajaan turut menyalurkan bakul makanan kepada semua penduduk terjejas.

JPBN menegaskan pasukan penyelamat masih giat menjalankan operasi menyelamat mangsa yang terperangkap, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang meneliti kawasan tanah runtuh di laluan utama untuk tindakan segera.

Kerajaan negeri juga menerima sokongan daripada Kerajaan Pusat melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang menyalurkan bantuan kewangan, termasuk tambahan jambatan sementara Bailey Bridge untuk memulihkan akses jalan.

Agensi tempatan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) terus memperkukuh pemantauan dan koordinasi logistik bagi melicinkan penyaluran bantuan.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, turun padang meninjau keadaan mangsa di PPS Penampang dan Putatan selain meninjau lokasi tanah runtuh di Jalan Tun Fuad Stephens, Tanjung Lipat.

“Kerajaan negeri dan Persekutuan akan segera menghulurkan bantuan dalam tempoh sehari dua ini. Yayasan Kebajikan Negeri juga akan membantu bagi meringankan beban mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji merakamkan penghargaan kepada NADMA yang menyalurkan RM10 juta bantuan tambahan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jumlah itu melengkapi peruntukan RM11 juta yang disediakan kerajaan negeri sebelum ini untuk menangani bencana yang melanda Sabah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button